Isnin, 3 Disember 2018 | 11:20am
BINTANG tenis Switzerland, Roger Federer. - Foto EPA

Federer masih berbisa

LONDON: Sekali pun tidak beraksi sehebat 2017, bintang tenis Switzerland Roger Federer melengkapkan satu lagi musim hebat tahun ini dengan memenangi empat  gelaran dan menambah koleksi Grand Slam kepada 20 serta muncul pemain tertua dalam sejarah menduduki ranking nombor 1 ATP dunia.

Buat pertama kali sejak 2012, dan kesembilan secara keseluruhan, Federer menghabiskan keseluruhan musim di kedudukan ranking tiga terbaik dan setakat ini menjadi pemain tertua berada di kelompok berkenaan.

Usianya juga empat tahun lebih tua berbanding pemain Amerika Syarikat, Jimmy Connors yang sebelum ini melengkapkan musim 1984 di kedudukan ranking tiga terbaik.

Sebagai tambahan, Federer akan menjadi pemain pertama dalam sejarah ATP berada di kedudukan tiga terbaik selama 700 minggu apabila senarai ranking terbaharu dikeluarkan hari ini dengan tiada pemain lain mencapai kedudukan itu lebih daripada 600 minggu.

Jimmy Connors, Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Ivan Lendl menjadi antara pemain yang mengisi kedudukan itu untuk tempoh lebih daripada 500 minggu.

Ini musim ke-14 buat Federer menamatkan musim di kedudukan ranking tiga terbaik meninggalkan Connors (12) manakala Nadal dan Djokovic masing-masing 11.

Sejak kali pertama menghabiskan musim di ranking tiga terbaik pada 2003, Federer mengharungi kempen cemerlang untuk berada di kelompok berkenaan untuk 10 musim berturut-turut sebelum terkeluar pada 2013.

Begitupun, dia bangkit pada 2014 dan 2015 malah berjaya menewaskan pencabar lebih muda dan melengkapkan kedua-dua tahun di kedudukan ranking tiga terbaik sekali gus muncul pemain tertua dalam era Terbuka berjaya melakukannya.

Federer kemudian terpaksa menarik diri daripada beraksi bagi separuh musim 2016 susulan kecederaan lutut yang menyebabkannya terkeluar daripada kedudukan 10 terbaik.

Begitupun, dia bangkit dan kembali meraih posisinya apabila memenangi Wimbledon tahun lalu dan kekal di kelompok elit itu sehingga kini.

Sejak 15 tahun lalu, Federer sudah memecahkan rekod penting di kedudukan ranking tiga terbaik tetapi dia nampak masih lagi ‘bernafsu’ untuk meleburkan lebih banyak rekod pada 2019 sekali pun sedar tugasnya makin getir. - AGENSI

234 dibaca
Berita Harian X