Ahad, 2 Disember 2018 | 7:21pm
LEE Zii Jia - Foto Fail/FATHIL ASRI

Wan Ho 'ajar' Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mendapat pengajaran berguna selepas tewas di tangan pemain nombor enam dunia, Son Wan Ho dalam aksi final Masters Korea di Gwangju, hari ini.

Hasrat Zii Jia untuk melakar kejutan tidak kesampaian sebaliknya Wan Ho yang juga perseorangan lelaki utama Korea membuktikan betapa masih banyak perlu dipelajari pemain muda negara itu bagi bergelar jaguh dunia.

Wan Ho yang juga bekas pemain nombor satu dunia merekodkan gelaran keduanya tahun ini selepas mudah mengetepikan cabaran Zii Jia 21-16, 21-11 dalam tempoh 36 minit.

Bagaimanapun, pujian juga harus diberikan kepada Zii Jia yang berjaya melangkah sehingga ke final biarpun baru pulih daripada kecederaan belakang yang membelenggu dirinya selepas menjuarai Terbuka Taiwan, Oktober lalu.

“Ia bukan mudah untuk bermain menentang Wan Ho, saya mendapat pengajaran  hari ini. Perjalanan saya masih jauh, biarpun tidak menjadi juara tetapi ia masih pencapaian dan penutu tahun yang baik untuk saya.

“Kini, saya hanya mahu pulang dan berehat seketika. Selepas itu saya akan kembali dan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan tahun depan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga, jurulatih dan semua yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Saya janji akan terus bekerja keras dan buat persiapan terbaik bagi menghadapi saingan tahun depan,” kata Zii Jia ketika dihubungi.

Apa yang paling penting, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berjaya mengatasi masalah konsistensi yang selama ini sering menghantui barisan pemain negara.

Agak sukar untuk melihat pemain yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu kejohanan mampu mengekalkannya pada kejohanan berikutnya tetapi Zii Jia berjaya membuktikan dia kini dilandasan tepat untuk muncul antara bintang yang perlu diberi perhatian. 

1163 dibaca
Berita Harian X