Sabtu, 1 Disember 2018 | 2:51pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto Hairul Anuar Rahim

Zii Jia buat perhitungan dengan Wan Ho

KUALA LUMPUR: Rezeki nyata tidak pernah salah alamat.

Itu yang berlaku kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang hanya selangkah lagi bagi menjuarai saingan Masters Korea yang berlangsung di Gwangju selepas mengesahkan tempat ke pentas final.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 20 tahun itu tidak perlu bermandi peluh apabila dia mara ke final selepas lawannya pada aksi separuh akhir, hari ini, Sitthikom Thammasin dari Thailand terpaksa menarik diri di set pertama kerana mengalami kecederaan.

Ketika itu Zii Jia mendahului Sitthikom 4-1.

Bagaimanapun, laluan Zii Jia bagi merekodkan gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Taiwan, Oktober lalu tidak mudah apabila dia perlu menentang bekas pemain nombor satu dunia, Son Wan Ho dari Korea.

Pilihan pertama kejohanan itu mara selepas menyingkirkan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu 21-19, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Atas kertas kelebihan sudah pasti memihak kepada Wan Ho apatah lagi dia pernah menewaskan Zii Jia ketika saingan individu Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, Ogos lalu.

Namun, Zii Jia sudah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dia melakukan kejutan seperti yang dilakukannya ketika menumbangkan beberapa pemain utama termasuk pemain nombor tiga dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan dalam laluan ke final Terbuka Taiwan.

 “Saya tidak boleh terlalu gembira dengan kejayaan ini. Ada satu lagi perlawanan penting untuk saya esok, saya perlu kekal fokus.

“Ini adalah peluang untuk saya meraih satu lagi gelaran, saya tidak boleh sia-siakan. Apabila sudah masuk final ini, saya perlu buat yang terbaik.

“Saya tahu bukan mudah untuk menentang Wan Ho kerana dia adalah pemain utama dunia malah saya juga tewas ketika kami bertemu pada Sukan Asia yang lalu. Apapun, saya percaya apa jua boleh berlaku kalau beri yang terbaik,” kata Zii Jia ketika dihubungi.

919 dibaca
Berita Harian X