Khamis, 29 November 2018 | 7:36pm
JOO Ven seolah-olah mendapat nafas baharu bagi menyelamatkan kerjayanya apabila mengejutkan pilihan ketiga dari Thailand, Khosit Phetpradab. - Arkib NSTP

Nafas baharu Joo Ven

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven seolah-olah mendapat nafas baharu bagi menyelamatkan kerjayanya apabila mengejutkan pilihan ketiga dari Thailand, Khosit Phetpradab untuk mara ke suku akhir Masters Korea yang berlangsung di Gwangju, hari ini.

Joo Ven yang menghuni ranking ke-79 dunia berbanding Phetpradab ke-15 menampilkan prestasi cemerlang apabila menang ke atas lawannya itu 21-11, 21-11 dalam aksi pusingan kedua.

Dia yang sering bergelut dengan prestasi tidak menentu sebelum ini akan membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain Thailand, Sitthikom Thammasin bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Turut mengiringi Joo Ven, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menewaskan pemain Taiwan, Yang Chih Chieh 21-18, 21-15.

Juara Terbuka Taiwan 2018 itu akan menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito untuk aksi suku akhir.

Sementara itu, juara remaja dunia 2018 dalam acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pemain China, Zhang Yiman 21-16, 21-15 dan akan menentang Chiang Yi Li dari Taiwan, esok.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin membara bagi mengakhiri penantian bergelar juara buat kali pertama sejak digandingkan pada 2017 selepas turut mengesahkan tempat ke suku akhir. 

Pasangan ke-21 dunia menewaskan beregu tuan rumah, Jung Jae Wook-Kim Hwi Tae 21-17, 21-19.

Mereka dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir apabila bertemu pasangan ke-80 dunia dari Korea, Choi Solgyu-Seo Seung Jae.

"Hari ini kami bermain dengan baik. Untuk perlawanan esok, kami akan terus mengikut perancangan kami, sebarang perubahan akan dilakukan apabila berada di atas gelanggang.

"Diharapkan, kami mampu meraih gelaran juara pada kejohanan ini, tetapi dalam masa sama kami enggan dibebani dengan perkara itu. Kami mahu melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Aaron ketika dihubungi.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi tiga beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chen Tang Jie-Man Wei Chong dan Mohd Arif Latif-Nur Azriyn Ayub serta beregu campuran, Tang Jie-Peck Yen Wei yang gagal meneruskan kemaraan selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

628 dibaca
Berita Harian X