Rabu, 28 November 2018 | 9:49pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Zii Jia enggan 'tekan' diri sendiri

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia enggan memberi tekanan kepada diri sendiri biarpun peluang untuk merekodkan gelaran kedua tahun ini pada saingan Masters Korea tampak cerah.

Terdahulu, juara Terbuka Taiwan 2018 itu mengesahkan tempat ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 selepas menewaskan Lin Yu Hsien dari Taiwan 23-21, 22-20 dalam aksi pusingan pertama, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain Taiwan, Yang Chih Chieh dengan Milan Ludik dari Filipina bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Berdasarkan undian, laluan Zii Jia untuk ke final tampak mudah dengan bekas pemain nombor satu dunia, Son Wan Ho dari Korea dijangka menjadi pencabar utama bagi merebut gelaran juara.

“Ia perlawanan yang sukar untuk saya hari ini tetapi saya gembira dapat kembali ke gelanggang. Saya tidak mahu memberi banyak tekanan kepada diri sendiri dalam kejohanan ini.

“Saya hanya mengingatkan diri sendiri untuk memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan,” kata Zii Jia ketika dihubungi, hari ini.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven mengiringi Zii Jia ke pusingan kedua selepas menyingkirkan Ha Young Woong dari Korea 18-21, 21-12, 21-14.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang masih segar dengan kejayaan muncul juara remaja dunia buat kali kedua, dua minggu lalu turut mara ke pusingan kedua.

Dia tidak berdepan masalah menewaskan pemain Belanda, Soraya De Visch Eijbergen 21-7, 21-13 dan akan menentang Zhang Yiman dari China, esok.

Beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong memulakan misi meraih gelaran pertama tahun ini dengan langkah kanan apabila turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Yang Po Hsuan 21-19, 24-22.

Mereka akan membuat perhitungan dengan beregu muda China, Huang Kaixiang-Wang Zekang bagi merebut tempat ke suku akhir.

Beregu profesional, Mohd Arif Latif-Nur Azriyn Ayub turut mara menewaskan Bae Kwon Young-Choi Jong Woo dari Korea 15-21, 21-16, 21-18 dan akan menentang satu pasangan Kim Sa Rang-Tan Boon Heong.

671 dibaca
Berita Harian X