Selasa, 20 November 2018 | 4:17pm
GOH Jin Wei disambut keluarga dan peminat ketika tiba di balai ketibaan KLIA selepas menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada. - NSTP/Rosdan Wahid

Jin Wei 'smash' Chong Wei

SEPANG: “Kenapa perlu tunggu sehingga 2024 sedangkan saya boleh pergi dan bertarung untuk pingat dua tahun dari sekarang.”

Itu keyakinan yang diluahkan Goh Jin Wei ketika mengulas kenyataan bekas pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei mengenai dirinya yang menjadi harapan utama untuk membawa pulang pingat di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Chong Wei membuat kenyataan itu selepas pemain berumur 18 tahun berkenaan melakar sejarah apabila merangkul gelaran Kejohanan Remaja Dunia buat kali kedua di Markham, Kanada Ahad lalu dalam acara perseorangan wanita.

“Semuanya boleh berlaku, saya juga boleh bertarung untuk pingat di Sukan Olimpik 2020 Tokyo, saya berada di umur terbaik saya.

“Kenapa perlu tunggu sehingga 2024? Masa adalah emas, saya yakin saya perlu pergi dan bertarung,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Markham di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Jin Wei yang menjulang gelaran pertama ketika edisi 2015 di Lima, Peru berkata keyakinannya itu ditambah selepas memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Belia (YOG) di Buenos Aires, Argentina bulan lalu.

“Ia adalah tahun yang mengagumkan buat saya. Pada permulaannya saya bermain banyak kejohanan di peringkat senior, yang mana saya percaya banyak membantu saya di peringkat remaja kerana saya membawa pengalaman itu sepanjangnya.

“Memenangi YOG dan gelaran remaja dunia adalah batu loncatan untuk saya meningkatkan diri di peringkat senior,” kata Jin Wei yang akan menyambung latihan di bawah jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu hanya mengambil cuti dua hari sebelum kembali ke gelanggang bagi persiapan ke Korea Masters di Gwangju, minggu depan.

Berita Harian X