Jumaat, 16 November 2018 | 7:42am
ROGER Federer. - Foto AFP

Federer balas dendam, mara separuh akhir

 

LONDON: Roger Federer berjaya membalas dendam ke atas Kevin Anderson di Finals ATP sekali gus berada di landasan terbaik untuk melakar gelaran ke-100 selepas menang 6-4, 6-3 awal pagi tadi dengan kedua-dua pemain mara ke peringkat empat terbaik.

Bintang Swiss itu menderita kekalahan pahit di tangan pemain dari Afrika Selatan itu ketika suku akhir Wimbledon tahun ini selepas mendahului dua set, satu-satunya kekalahan Federer dalam lima pertemuan dengan lawannya itu sebelum mereka beraksi di Arena O2, London.

Juara enam kali itu memulakan minggu saingan dengan agak goyah, tewas di tangan Kei Nishikori namun bangkit menewaskan Dominic Thiem dan Anderson.

Kemenangan selesa ke atas Anderson itu membawa Federer melangkah ke separuh akhir buat kali ke-15 dalam 16 percubaan di kejohanan penamat musim itu dan ini bermakna dia dapat mengelak pertembungan dengan Novak Djokovic dalam aksi empat terbaik nanti.

"Saya sangat gembira," kata Federer. " Perlawanan pertama agak sengit menentang Kei, saya tidak dapat bersaing.

Saya cuba merencana corak permainan yang baik ketika bertemu Dominic dan juga Kevin hari ini. Saya gembira semuanya berhasil.”

"Saya teruja untuk berada di pentas separuh akhir."

Terdahulu, Dominic Thiem menewaskan Nishikori 6-1, 6-4 tetapi kedua-dua pemain itu bakal tersingkir di peringkat ‘round robin’.

Pilihan utama, Djokovic sudah pun melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Alexander Zverev di Kumpulan Guga Kuerten, manakala Zverev, Marin Cilic dan John Isner bertarung merebut tempat ke separuh akhir.

Pemain nombor satu itu sedang memburu gelaran keenam di Finals ATP bagi menyamakan kedudukan bersama Federer, dijadual memasuki gelanggang bertemu Cilic manakala Zverev menentang Isner, hari ini. - AFP

Berita Harian X