Jumaat, 9 November 2018 | 1:07pm
Andy Murray. - Foto Reuters

Murray kerja keras hadapi 2019

LONDON: Andy Murray menyatakan dia berasa semakin bagus setiap hari dari segi fizikal selepas kembali ke gelanggang latihan bagi persiapan menghadapi musim 2019.

Murray, 31, menamatkan musimnya lebih awal untuk fokus melakukan “peningkatan besar”, sesudah bermain enam kejohanan sejak kembali daripada pembedahan pinggul Jun lalu.

Pemain Scotland itu akan berlatih di Miami bulan depan sebelum kembali bertanding pada kejohanan kompetitif Antarabangsa Brisbane, Januari depan.

“Saya semakin hampir,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Pemain Britain itu, kini di ranking ke-263 dunia, tidak beraksi sejak kalah kepada pemain Sepanyol, Fernando Verdasco pada Terbuka Shenzhen, dua bulan lalu.

Dia menghabiskan “empat atau lima minggu” mengembalikan kecergasannya dengan latihan luar gelanggang di Philadelphia dan bercadang meningkatkan latihannya di Florida sebelum berlepas ke Brisbane.

Murray dijangka beraksi pada Terbuka Australia Januari depan dan turut mengumumkan penyertaan pada kejohanan Terbuka Sud de France di Montpellier - kejohanan Jelajah ATP 250 yang tidak pernah disertainya - Februari depan.

“Saya akan ke Miami selama tiga atau empat minggu berlatih dalam cuaca panas dan menghabiskan banyak masa di gelanggang untuk bersiap sedia bagi kejohanan di Brisbane,” kata pemenang tiga gelaran Grand Slam itu.

“Saya bercadang pergi ke Brisbane lebih awal, mungkin seminggu sebelum kejohanan.

“Saya sudah berlatih beberapa hari dan masih mempunyai beberapa bulan untuk berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan itu.” - Agensi

94 dibaca
Berita Harian X