Jumaat, 9 November 2018 | 1:00pm
DATUK Misbun Sidek dan Datuk Lee Chong Wei. - Foto Luqman Hakim Zubir

'Penawar' Chong Wei gelanggang badminton - Misbun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek percaya ‘penawar’ bagi Datuk Lee Chong Wei untuk melupakan kesakitan yang dialaminya adalah dengan kembali ke gelanggang.

Misbun menyifatkan Chong Wei, 36, sebagai pemain yang cukup luar biasa selepas dia menyuarakan hasrat untuk terus beraksi hingga Sukan Olimpik Tokyo 2020 biarpun masih dalam proses pemulihan selepas menghidap kanser hidung.

“Kebanyakan orang kalau mengalami apa yang dilaluinya pasti akan berputus asa. Namun, saya lihat Chong Wei sebagai pemain yang sangat luar biasa.

“Apabila dia beritahu yang dia mahu terus bermain, saya tahu api dalam dirinya sangat membara. Jika dia tidak kuat, dia tidak akan umumkan perkara itu.

“Hanya kegembiraan di tengah gelanggang dapat mengubati apa jua sakit yang dihadapinya,” kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Chong Wei, semalam menerusi sidang media khas bagi berkongsi perkembangan mengenai tahap kesihatannya berkata, dia akan terus beraksi hingga Tokyo 2020 dengan misi untuk memburu pingat pada temasya berprestij itu.

Bagaimanapun, dia masih menunggu lampu hijau daripada doktornya untuk kembali ke gelanggang tetapi meramalkan dia mungkin membuat kemunculan semula pada Seluruh England, Mac depan.

“Chong Wei seorang pemain senior dan berpengalaman, dia tahu bagaimana nak bermula semula. Kami jurulatih akan membantu dia dari semasa ke semasa,” kata Misbun.

Sementara itu, seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan yang diberi kepercayaan untuk terus membimbing bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, ia satu cabaran hebat dalam kerjayanya.

“Ia akan menjadi cabaran hebat buat saya malah untuk Chong Wei juga. Dengan usia Chong Wei sekarang dan masalah kesihatan yang pernah dialaminya ini, saya perlu teliti bagi merencana program latihan terbaik buat Chong Wei,” katanya.

1307 dibaca
Berita Harian X