Khamis, 8 November 2018 | 8:20pm
DATUK Lee Chong Wei - Foto MIKAIL ONG

Chong Wei optimis beraksi di Tokyo

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei kekal positif untuk merealisasikan impiannya beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 biarpun masih dalam proses pemulihan selepas menghidap kanser hidung.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu menamatkan spekulasi mengenai masa depan kerjayanya apabila menegaskan dia akan kembali ke gelanggang dengan Seluruh England pada Mac tahun depan mungkin menjadi kejohanan pertamanya.

“Mungkin Seluruh England akan menjadi kejohanan pertama saya tetapi ia bergantung pada tahap fizikal saya. Agak sukar untuk saya bercakap mengenai tahap fizikal saya sekarang kerana saya baru selesai menjalani rawatan.

“Sekarang saya sudah mula melakukan ‘workout’ (senaman) bagi mendapatkan semula tahap kecergasan saya. Saya tidak boleh terburu-buru untuk kembali ke gelanggang, sebaliknya saya perlu mendengar nasihat daripada doktor.

“Jika doktor membenarkan saya kembali ke gelanggang, saya akan kembali ke gelanggang. Apa yang paling penting sekarang adalah kesihatan saya,” kata Chong Wei ketika sidang media khas bagi berkongsi perkembangan berhubung tahap kesihatannya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Chong Wei yang disahkan menghidap kanser hidung tahap awal, Julai lalu menjalani rawatan di Taiwan selama dua bulan setengah dan hanya kembali ke tanah air, tiga minggu lalu.

Mengenai peluang untuk dia layak ke Tokyo, Chong Wei berkata ia tidak akan menjadi masalah sekiranya dia boleh kembali beraksi malah menegasakn sasarannya adalah untuk membawa pulang pingat tidak kira warna.

“Saya yakin, bukan masalah besar untuk saya layak ke Olimpik jika dapat kembali beraksi. Setiap negara layak mempunyai satu wakil jika berada dalam kedudukan ranking 32 terbaik dunia.

“Sama ada saya boleh memenangi pingat emas atau tidak, itu adalah impian saya. Saya tidak akan pergi ke Olimpik untuk sekadar bercuti...sudah pasti saya meletakkan sasaran bagi memenangi pingat.

“Jika tidak lebih baik saya beri peluang untuk pemain muda beraksi sekiranya sekadar pergi untuk bercuti,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu  yang memenangi perak pada Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

527 dibaca
Berita Harian X