Ahad, 4 November 2018 | 8:56am
NOVAK Djokovic membalas pukulan Roger Federer pada aksi separuh akhir Paris Masters di Paris- Foto EPA

Djokovic singkir Federer di Paris

PARIS: Novak Djokovic menghampakan impian Roger Federer untuk meraih gelaran ke-100 apabila menewaskan musuh ketatnya itu 7-6(6), 5-7, 7-6(3), dalam pertarungan epik separuh akhir awal pagi tadi sekali gus kekal tanpa kalah dalam 22 perlawanan setakat ini.

Dalam pertarungan ke-47 di antara dua pemain hebat ini, kesungguhan Djokovic jelas terserlah apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut ke atas Federer dalam penentuan tiebreak yang mengambil masa tiga jam.

Djokovic yang kembali menduduki ranking pertama dunia esok berpeluang menjuarai Paris Masters kelimanya apabila menentang pemain Russia, Karen Khachanov pada aksi final yang sebelum ini mudah menewaskan Dominic Thiem 6-4, 6-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Djokovic yang mengalami selesema dalam beberapa perlawanan minggu ini lega dapat mengatasi cabaran Federer yang tampak menghampiri era terbaiknya.

"Kami sentiasa mempunyai perlawanan epik dan aksi ini salah satu yang terbaik kami sajikan. Kualiti tenis yang sangat tinggi,” kata Djokovic.

"Selain itu ketika menentang (Rafa) Nadal pada separuh akhir Wimbledon dan ini perlawanan paling menarik tahun ini dan mungkin yang terbaik.”

Federer pula tetap positif dengan prestasinya.

"Keseluruhannya saya boleh gembira, tahap saya bagus tetapi kalah tetap tak seronok,” kata Federer. “Aksi yang sengit, kami mahu menang dan tak suka kalah.” "

"Novak jelas dalam kelas tersendiri. Anda boleh rasakannya.” - REUTERS

Berita Harian X