Khamis, 1 November 2018 | 7:22pm
NG Chin Chai - Foto OWEE AH CHUN

Janji BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjanji akan memastikan semua pemain yang berpotensi mendapat persiapan terbaik dalam misi memburu kilauan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Badminton kekal menjadi sandaran utama untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen Malaysia pada temasya terbesar dunia itu menerusi penstrukturan semula Program Podium yang menyaksikan sukan berkenaan diletakkan dalam Tahap 1 - sukan yang berpotensi meraih pingat di Tokyo - bersama terjun dan basikal trek.

Sukan itu juga berada dalam Tahap 2 yang mana diletakkan sandaran bagi menghadiahkan pingat pada temasya Sukan Komanwel 2022.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, fokus utama badan induk itu ketika ini adalah bagi memastikan skuad negara mempunyai dua wakil dalam setiap acara layak ke Tokyo.

"Untuk peringkat awal ini, sasaran utama adalah bagi memastikan Malaysia mempunyai dua wakil dalam setiap acara di Tokyo nanti. Justeru, BAM akan melakukan yang terbaik bagi membantu persiapan pemain mencapai matlamat berkenaan.

"Apabila KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) kekal meletakkan sandaran kepada badminton, ia pastinya satu penghormatan buat kami namun ia bukan tugas mudah, kami anggap ini sebagai cabaran," kata Chin Chai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

Berdasarkan rekod, badminton nyata pada kelas tersendiri apabila tidak pernah gagal menyumbangkan pingat buat kontinjen negara pada temasya Olimpik sejak 2008 hingga 2016.

Pada 2008, badminton meraih satu perak diikuti 2012 (satu perak) dan 2016 (tiga perak).

Sebelum itu, pada edisi 1992, sukan berkenaan menyumbang gangsa - pingat pertama kontinjen Malaysia sejak menyertai Olimpik - diikuti satu perak dan satu gangsa pada 1996.

Ditanya mengenai peluang badminton menjadi penyumbang emas pertama buat kontinjen Malaysia di Tokyo nanti, Chin Chai bagaimanapun lebih gemar mengambil pendekatan selamat.

"Sebab itu, fokus adalah bagi memastikan kita ada dua wakil dalam setiap acara. Peluang untuk meraih pingat atau emas lebih tinggi jika kita mempunyai dua wakil dalam setiap acara," katanya.

INFO

Pingat yang diraih badminton pada Sukan Olimpik

Barcelona 1992: Beregu lelaki Jalani Sidek-Razif Sidek (gangsa)

Atlanta 1996: Beregu lelaki, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (perak)

                       Perseorangan lelaki, Rashis Sidek (gangsa)

Beijing 2008: Perseorangan lelaki, Lee Chong Wei (perak)

London 2012: Perseorangan lelaki, Lee Chong Wei (perak)

Rio de Janeiro 2016: Perseorangan lelaki, Lee Chong Wei (perak)

                                   Beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (perak)

                                   Beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (perak)

43 dibaca
Berita Harian X