Khamis, 18 Oktober 2018 | 3:33pm
Jurulatih China, Li Yongbo tidak berminat untuk berkhidmat dengan BAM.

Yongbo tak minat latih Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan bekas ketua jurulatih China, Li Yongbo tidak berminat untuk berkhidmat bersama badan induk itu bagi menggalas tugas sebagai pengarah kejurulatihan.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai mengakui ada menghubungi Yongbo sebelum ini menerusi pihak ketiga tetapi jurulatih berusia 56 tahun itu menegaskan beliau tidak berminat.

“Kami menghubungi Yongbo menerusi pihak ketiga tapi beliau awal-awal lagi menyatakan tidak berminat. Jadi, setakat itu saja komunikasi kami,” kata Chin Chai ketika dihubungi, hari ini.

Spekulasi mengaitkan Yongbo dengan jawatan pengarah kejurulatihan BAM timbul selepas beliau yang meninggalkan Persatuan Badminton China, April tahun lalu tiba di sini, semalam.

Bagaimanapun, difahamkan kehadirannya di sini hanya sebagai memenuhi jemputan Kelab Badminton Petaling yang beraksi dalam saingan Purple League.

Yongbo meninggalkan skuad badminton China selepas 24 tahun berkuasa dengan beliau berjaya mengemudi kejayaan negara itu memenangi pingat emas dalam lapan temasya Sukan Olimpik.

“Saya tak pasti tujuan sebenar kehadiran Yongbo di sini tapi mungkin sekadar lawatan sosial. Kehadirannya tidak ada kaitan dengan BAM dan tiada sebarang rundingan dijalankan,” jelas Chin Chai.

BAM ketika ini dalam proses akhir bagi memuktamadkan calon paling layak bagi memikul tugas sebagai pengarah kejurulatihan dengan difahamkan tiga calon berada dalam senarai pendek.

Mereka adalah bekas pakar beregu Indonesia, Rexy Mainaky, bekas pemain perseorangan lelaki negara, Wong Choong Hann dan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara ketika ini, Datuk Misbun Sidek yang akan dinaikkan pangkat jika dipilih.

252 dibaca
Berita Harian X