Sabtu, 13 Oktober 2018 | 12:43am
AKSI Roger Federer ketika membalas pukulan pemain Jepun, Kei Nishikori pada saingan Masters Shanghai. - Foto AFP

Federer, Djokovic mara separuh akhir

SHANGHAI: Pilihan utama dan juara bertahan Roger Federer kembali ke prestasi terbaik ketika menundukkan pemain Jepun, Kei Nishikori 6-4, 7-6 (7/4) untuk layak ke separuh akhir Masters Shanghai, hari ini.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu memperagakan beberapa persembahan mengagumkan di Shanghai, kejohanan pertamanya sejak mengalami kejutan kalah pada pusingan keempat di tangan John Millman pada Terbuka AS bulan lalu.

Pemain berusia 37 tahun itu akan berdepan pemain Croatia, Borna Coric, yang menyingkirkan pemain Australia, Matthew Ebden 7-5, 6-4. Coric mengalahkan Federer pada final di Halle dalam pertembungan terakhir mereka awal tahun ini.

Terdahulu, juara Shanghai tiga kali, Novak Djokovic meneruskan rentetan kemenangannya kepada 16 perlawanan selepas menundukkan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson 7-6 (7/1), 6-3 sekali gus membolehkan pemain Serbia itu menghampiri ranking nombor dua dunia.

Djokovic, yang menang dua gelaran Grand Slam terakhir, Wimbledon dan Terbuka AS, kini pemain nombor tiga dunia tetapi dia boleh melonjak satu anak tangga jika layak ke final Ahad ini.

Djokovic menempah tiket separuh akhir menentang pemain Jerman, Alexander Zverev, yang muncul pemain kelima layak ke Pusingan Akhir ATP bulan depan dengan kemenangan 6-4, 6-4 ke atas Kyle Edmund.

“Dia (Zverev) banyak meningkat dan dia sudah mengukuhkan dirinya sebagai pemain ternama,” kata Djokovic. - Reuters

Berita Harian X