Khamis, 4 Oktober 2018 | 12:58am
AKSI Juan Martin Del Potro ketika membalas pukulan pemain Russia, Karen Khachanov pada saingan Terbuka China di Beijing. - Foto EPA

Del Potro sah tempat ke Final ATP

BEIJING: Pemain pilihan utama dari Argentina Juan Martin del Potro mara ke suku akhir Terbuka China sekali gus mengesahkan tempat ke Final ATP, hari ini.

Dia yang menikmati salah satu musim terbaiknya menewaskan pemain menduduki ranking ke-24 dunia dari Russia Karen Khachanov 6-4, 7-6 (7/4).

Kemenangan itu membolehkan Del Potro layak ke kejohanan penutup Final ATP buat kali pertama sejak 2013 bersama Rafael Nadal, Roger Federer dan Novak Djokovic yang akan berlangsung di London pada November depan.

Kejayaan itu sekali gus menandakan kehadiran semula pemain berusia 30 tahun selepas dibelenggu kecederaan pergelangan tangan sejak sekian lama yang hampir memusnahkan kariernya.

Pemain nombor empat dunia itu akan menentang Filip Krajinovic dari Serbia dalam peringkat lapan terakhir.

Sementara itu pemain pilihan ketiga dari Bulgaria Grigo Dimitrov tewas mengejut apabila melakukan sembilan ‘double faults’ ketika menentang pemain kelayakan dari Serbia Dusan Lajovic. Lajovic akan menentang pilihan kelima dari Britain Kyle Edmund di peringkat suku akhir.

Dalam kategori wanita, pilihan kedua Caroline Wozniacki mempamerkan aksi kemas untuk menewaskan Petra Martic dari Croatia 7-5, 6-3. Pemain dari Denmark itu akan menentang pemain Estonia Anett Kontaveit di saingan 16 terakhir.

Pilihan ketujuh Karolina Pliskova dari Republik Czech akan menentang pemain nombor satu China Wang Qiang. - AFP

Berita Harian X