Isnin, 10 September 2018 | 10:00am
NOVAK Djokovic. - Foto

Terima kasih Pete - Djokovic

NEW YORK: “Pete, saya sayang awak, awak idola saya,” kata Novak Djokovic selepas menjulang trofi tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.

Djokovic meraih gelaran ketiga Terbuka AS selepas meraih kemenangan 6-3, 7-6 (7/4), 6-3 ke atas Juan Martin del Potro di pentas final, sekaligus menyamai pencapaian Pete Sampras yang meraih 14 gelaran Grand Slam.

Pemain Serbia ini memasuki aksi final kelapan di New York dan muncul juara dua kali pada edisi 2011 dan 2015.

Dia kini ketinggalan tiga gelaran Grand Slam di belakang Rafael Nadal, dan enam gelaran di belakang pemegang rekod 20 gelaran, Roger Federer.

Kejayaan ini juga adalah yang ketiga buat pemain berusia 31 tahun ini melengkapkan gelaran berganda - Wimbledon dan Terbuka AS, selepas tidak beraksi pada tahun lalu akibat kecederaan siku.

“Terima kasih kepada penyokong yang disayangi, isteri, anak-anak, pasukan saya yang bersama-sama menempuh detik sukar. Ini untuk anda semua,” kata Djokovic yang menjalani pembedahan siku selepas Terbuka Australia, Januari lalu.

Bagi pemain nombor tiga dunia, Del Potro, - kekalahan itu memang cukup perit selepas dia berjaya melangkah ke pentas final Grand Slam kali kedua - sembilan tahun selepas dinobatkan juara Terbuka AS.

Sebelum ini, Del Potro bergelut untuk mencapai prestasi terbaik akibat dilanda kemelut kecederaan pergelangan tangan berpanjangan sehingga memaksanya hampir membuat keputusan untuk bersara awa;l.

“Ketika saya menjalani pembedahan, barulah saya faham kenapa Juan Martin menyepikan diri daripada siri jelajah selama dua atau tiga tahun. Dia juga menjalani pembedahan seperti saya,” tambah Djokovic.

Kemenangan pagi tadi membolehkan Djokovic melebarkan jurang rekod ke atas Del Potro dengan 15 kemenangan dalam karier dan lima kali di Grand Slam.

Kejayaan itu juga menyaksikan, 50 daripada 55 gelaran utama dimenangi oleh kelompok 'Big Four' - Federer, Nadal, Djokovic serta Andy Murray.

“Saya cukup gembira kerana mendapat peluang beraksi menentang pemain yang menjadi idola ramai di pentas final,” kata Del Potro, sebagai tanda penghargaan kepada rakan baiknya, Djokovic.

“Dia tahu, dia adalah antara seorang rakan yang dalam siri jelajah ini. Dia tahu, dia adalah seorang daripada pemain yang saya mahu dia menang.

“Sudah tentu saya kecewa kerana kalah, tetapi saya juga gembira untuk Novak. Anda layak untuk menang,” katanya. - AFP

Berita Harian X