Rabu, 15 Ogos 2018 | 5:30pm
BEKAS pemain skuasy negara, Azlan Iskandar. - Foto Adi Safri

Azlan optimis pencapaian Incheon mampu diulangi

KUALA LUMPUR: Bekas pemain skuasy negara, Azlan Iskandar yakin skuad negara yang beraksi di Sukan Asia Jakarta-Palembang mampu mengulangi pencapaian di Incheon empat tahun lalu dengan membawa pulang dua pingat emas.

Keyakinannya itu berdasarkan prestasi semasa pemain wanita dan pengalaman yang dimiliki oleh Datuk Nicol David.

Menurutnya, skuad wanita negara adalah antara yang terkuat dalam kalangan negara Asia terutama dengan kehadiran bekas pemain nombor satu dunia itu dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, S Sivasangari.

"Secara jujurnya pasukan wanita kita sangat kuat. Kita mempunyai Nicol dan Sivasangari, manakala Low Wee Wern pula baru-baru ini ada menunjukkan peningkatan dengan menjuarai beberapa kejohanan selepas pulih daripada kecederaan," katanya.

Azlan yang meraih emas di Sukan Asia Guangzhou 2010, mengakui jika Nicol berada pada prestasi terbaik, tidak mustahil juara dunia lapan kali itu mampu mempertahankan emas yang diraih di Incheon dalam acara individu wanita.

"Pada masa sama, kita juga tidak boleh mengetepikan Nafiizwan Adnan yang berjaya meraih gangsa dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Komanwel Gold Coast 2018. Saya percaya prestasi dia juga sedang meningkat naik dan kita juga mengharapkan yang terbaik darinya," kata Azlan.

Azlan yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) turut berharap kontinjen negara mampu mencapai sasaran tujuh emas seperti yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Kita harus sentiasa positif dengan sasaran tujuh emas, sukan ini satu perkara yang sukar diramal. Sama seperti di Piala Dunia baru-baru ini, siapa sangka Jerman akan tersingkir di pusingan pertama.

"Jadi, kita harap kontinjen negara melakar pencapaian gemilang, begitu juga dengan pemain skuasy yang sejak kebelakangan ini semakin konsisten sama seperti Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) sentiasa melahirkan pemain berkualiti," katanya.

Pertandingan skuasy akan berlangsung di Dewan D Gelora Bung Karno dari 23 Ogos hingga 1 September dan menawarkan empat emas.

Berita Harian X