Selasa, 14 Ogos 2018 | 6:59pm
SESI latihan akhir pasukan badminton untuk persiapan ke Sukan Asia di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara. - Foto Saifullizan Tamadi

Misbun kerah anak buah sejak jam 6 pagi

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek percaya anak didiknya mampu menjelmakan kilauan pingat pada Sukan Asia Jakarta-Palembang jika mereka memberikan aksi terbaik sepanjang temasya itu berlangsung.

Keyakinan beliau itu turut disokong menerusi penilaian yang dilakukannya sepanjang persiapan ke Jakarta dengan pemain menunjukkan komitmen tinggi biarpun terpaksa memulakan latihan seawal jam 6 pagi.

"Saya percaya mereka semua sedar betapa mereka ada tanggungjawab besar yang perlu digalas apabila beraksi pada Sukan Asia. Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan mereka sepanjang latihan sebagai persiapan ke Sukan Asia.

"Walaupun terpaksa memulakan latihan seawal jam 6 pagi setiap hari, mereka boleh bertahan terhadap bebanan dan tekanan yang diberikan. Jika mereka boleh tunjuk komitmen seperti ini dalam latihan, saya percaya mereka boleh hadapi perlawanan dengan baik apabila kejohanan bermula.

"Mereka hanya perlu pastikan yang mereka memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan saya percaya keputusan yang baik atau pingat akan datang," kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Pada temasya terbesar Asia itu, skuad badminton negara menyenaraikan empat pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Soong Joo Ven selain Liew Daren yang melaporkan diri pada Sabtu lalu.

Selain acara berpasukan, Zii Jia dan Daren yang masih segar dengan kejayaan meraih gangsa Kejohanan Dunia di Nanjing, China dua minggu lalu akan menggalas tugas dalam saingan individu.

Kehadiran Daren bersama skuad negara bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei yang menarik diri akibat masalah kesihatan menyaksikan dia akan menggalas tugas selaku perseorangan pertama dalam acara berpasukan dan Misbun yakin dengan kemampuan pemain profesional itu.

“Apa yang saya lihat dalam televisyen, kejohanan yang disertainya sebelum ini termasuk Kejohanan Dunia, Daren tidak menunjukkan banyak perbezaan. Dia mengambil inisiatif yang baik sebaik menerima tawaran BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Biarpun menjalani latihan hampir tiga jam dengan intensiti yang tinggi tetapi Daren masih boleh bertahan. Biarpun dia jarang bermain sebagai perseorangan pertama tetapi apa yang saya lihat persiapan cukup baik dan diharapkan dia boleh kekalkan," kata Misbun.

40 dibaca
Berita Harian X