Ahad, 29 Julai 2018 | 6:18pm
GAMBAR fail, Ho Yen Mei. - Foto Owee Ah Chun

Yen Mei buktikan dia masih berbisa

KUALA LUMPUR: Selepas bergelut dengan masalah kecederaan dan prestasi, pemain perseorangan wanita negara, Ho Yen Mei membuktikan dia masih mampu mencabar kelompok pemain utama seperti Goh Jin Wei, Soniia Cheah dan Lee Ying Ying apabila muncul juara Terbuka Russia hari ini.

Kejayaan mengalahkan pemain Jepun, Shiori Ebihara dalam perlawanan akhir di Dewan Sukan Olimpik Vladvostok setidak-tidaknya boleh dianggap sebagai laungan amaran buat rakan senegara bahawa dia masih wujud dalam skuad perseorangan wanita walaupun hanya meraih kejayaan di kejohanan bertaraf Super 100.

Yen Mei yang kali terakhir meraih kejayaan di peringkat antarabangsa pada tahun 2015 di Siri Antarabangsa Poland terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 22-20, 11-21, 21-18 dan mengalirkan air mata kegembiraan menandakan dia puas dengan kejayaan berkenaan.

Pemain berusia 22 tahun kelahiran Kuala Lumpur ini, terpaksa berehat kira-kira selama enam bulan selepas sembuh daripada kecederaan kaki dan kali terakhir beraksi ketika di Malaysia Masters Januari lalu.

Menurut ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, ucapan setinggi-tinggi tahniah harus diberikan kepada Yen Mei kerana anak buahnya itu baru saja pulih daripada kecederaan.

"Dalam masa singkat dia berjaya melakukan satu permulaan yang baik selepas masalah kecederaan. Saya harap kejayaan ini akan meningkatkan lagi keyakinannya dan kembali kepada tahap permainan sebenar. Paling penting jangan rasa tertekan," kata Seu Bock.

Menurut Seu Bock, Yen Mei terpaksa melalui tempoh yang panjang untuk sembuh, kerana mengalami kecederaan secara berulang.

"Selepas ini dia perlu konsisten, tidak boleh sekejap main bagus dan sekejap main tidak bagus. Bawa bersama semangat seperti proses pemulihan sebelum ini apabila ketika berada pada tahap 80 peratus (hampir sembuh) dia sudah menunjukkan permainan yang baik dalam latihan.

"Cuma ada masanya, apabila dia cuba melakukan sesuatu dengan lebih baik di dalam latihan ia akan membuatkan dia berasa tertekan. Saya harap komitmen ketika di dalam latihan dapat diteruskan semasa pertandingan sebenar," katanya.

Sementara itu, hasrat Malaysia untuk meraih kejayaan berganda melalui beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean tidak kesampaian apabila mereka kalah 11-21, 18-21 kepada Chisato Hoshi-Kie Nakanishi.

Semalam, beregu profesional, Arif Latif-Azriyn Ayub diberikan kemenangan percuma dan meraih trofi sulung mereka selepas gandingan tuan rumah, Konstantin Abramov-Alexandr Zinchenko mengumumkan mereka menarik diri dari menyertai aksi akhir hari ini.

 

KEPUTUSAN

Akhir

Perseorangan lelaki

Sourabh Verma (IND) mln Koki Watanabe (JPN) 18-21, 21-12, 21-17    

Beregu lelaki

Arif Latif-Azriyn Ayub mln Konstantin Abramov-Alexandr Zinchenko (RUS) kemenangan percuma pasangan Russia tarik diri

Perseorangan wanita

Ho Yen Mei mln Shiori Ebihara (JPN) 22-20, 11-21, 21-18    

Beregu wanita

Chisato Hoshi-Kie Nakanishi (JPN) mln Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 11-21, 18-21

Beregu campuran

Vladimir Ivanov-Kim Min Kyung (RUS/KOR) mln Rohan Kapoor-Kuhoo Garg (IND) 21-19, 21-17

 

 

Berita Harian X