Rabu, 25 Julai 2018 | 1:45pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Ng Chin Chai. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Buru hadiah untuk 'abang besar'

KUALA LUMPUR: Ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa digugurkan daripada skuad badminton negara ke Sukan Asia 2018 akibat masalah kesihatan membuka peluang kepada pemain muda untuk menyerlah dengan sasaran sekurang-kurangnya menyamai pencapaian empat tahun lalu apabila meraih pingat gangsa acara berpasukan.

 Untuk itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaungkan cabaran kepada pemain muda negara untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka sekali gus menghadiahkan kejayaan buat Chong Wei yang terpaksa berehat sekurang-kurangnya sebulan selepas disahkan mengalami masalah pernafasan.

 Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, berkata ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek ketika ini sedang membuat penilaian bagi menyenaraikan pengganti kepada Chong Wei bagi membawa cabaran ke temasya di Jakarta, Indonesia bermula 19 hingga 28 Ogos depan.

 "Kami dibenarkan untuk menyenaraikan pengganti kepada Chong Wei berdasarkan senarai panjang yang dihantar kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) sebelum ini. Ada tiga pemain yang boleh dipertimbangkan iaitu Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing dan Tan Jia Wei.

 "Jadi, kami menunggu keputusan daripada Misbun dan jika cadangannya munasabah, kami akan ikut. Ketiadaan Chong Wei sudah pastinya memberi tamparan kepada skuad badminton negara kerana dia adalah pemain yang berpotensi menyumbang pingat untuk acara perseorangan lelaki dan membantu pasukan kita dalam acara berpasukan.

 "Namun, ketiadaannya juga membuka peluang kepada pemain muda untuk menyerlah. Jika kita lihat, pemain perseorangan lelaki yang kita senaraikan rata-rata berusia di bawah 21 tahun.

 "Ini satu cabaran untuk mereka dan mereka perlu galas cabaran ini demi 'abang besar' (Chong Wei) mereka," kata Chin Chai ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

 Sebagai rekod, pada edisi empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan, skuad badminton negara berjaya meraih gangsa acara berpasukan dan perseorangan lelaki menerusi Chong Wei.

 Pemain perseorangan lelaki yang disenaraikan sebelum ini ialah Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven selain beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Chan Peng Soon-Goh Soon Huat.

 Dalam perkembangan lain, Chin Chai turut memaklumkan BAM tidak dibenarkan menyenaraikan pemain lain bagi menggantikan Chong Wei pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang akan bermula Isnin ini berdasarkan peraturan yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

 "Berdasarkan peraturan BWF, tiada mana-mana pemain tidak kira dari negara kita atau negara lain yang boleh menggantikan tempat Chong Wei kerana undian sudah pun dijalankan," katanya.

 

 

 

26 dibaca
Berita Harian X