Rabu, 4 Julai 2018 | 2:32am
RAFAEL Nadal - Foto EPA-EFE

Wimbledon: Nadal lepasi halangan pertama

London: Pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal bermula cemerlang di Wimbledon untuk mara ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan 6-3, 6-3, 6-2 ke atas wakil Israel, Dudi Sela selepas bintang Sepanyol itu kembali turun ke gelanggang buat pertama kali sejak meraih geleran ke-11 Terbuka Perancis.

Nadal yang pernah muncul juara pada 2008 dan 2010, juga berjaya mengelak menjadi mangsa kepada pemain yang berada di luar ranking 100 terbaik dunia seperti sebelum ini apabila lima kali tumpas dalam enam penampilan terakhir di All England Club

"Ia memang sesuatu yang menakjubkan untuk bermain di Wimbledon, terutama di Centre Court.

"Saya sangat gembira berada di gelanggang ini dan perlawanan ini memberikan saya petanda positif.

"Masih ada ruang untuk memperbaiki permainan tapi selepas sekian lama tidak beraksi di gelanggang rumput, sudah tentu ia sangat penting mencatat kemenangan straight set," kata Nadal selepas mengalahkan Sela yang menghuni ranking ke-127 dunia.

Nadal, juara 17 kali kejohanan utama, sebelum ini tidak pernah melepasi pusingan keempat sejak muncul naib juara di belakang Novak Djokovic pada 2011.

Pilihan kelima dari Argentina, Juan Martin del Potro pula mencatat kemenangan kesembilan di pusingan pertama dalam sembilan penampilan di kejohanan berkenaan selepas mengalahkan pemain Jerman, Peter Gojowczyk 6-3, 6-4, 6-3.

Del Potro, yang berjaya mara ke separuh akhir pada 2013, akan berdepan Feliciano Lopez dari Sepanyol, selepas pemain berkenaan mencatat rekod beraksi 66 kali di Grand Slam, apabila mengalahkan seorang lagi wakil Argentina, Federico Delbonis 6-3, 6-4, 6-2.

Lopez yang bermain menggunakan tangan kiri melakukan penampilan di kejohanan utama pada 2001 di Terbuka Perancis.

"Ketika saya mahu memecahkan rekod ini saya terfikir saya akan mengatasi Roger Federer," gurau pemain ranking 70 dunia itu yang tumpas semua 13 perlawanan menentang Federer sepanjang kariernya.

Pemain pilihan keempat dari Jerman, Alexander Zverev berjaya menumpaskan James Duckworth dari Australia 7-5, 6-2, 6-0.

- AFP

Berita Harian X