Isnin, 2 Julai 2018 | 12:07pm
MISBUN Sidek berbual sesuatu dengan Lee Chong Wei. - Foto Luqman Hakim Zubir

Chong Wei tak pernah kata tidak - Misbun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek tidak terkejut terhadap keinginan disuarakan Datuk Lee Chong Wei untuk kekal beraksi sehingga Olimpik Tokyo 2020, biarpun pada waktu itu dia akan berusia 38 tahun.

Misbun yakin berdasarkan disiplin dan komitmen ditunjukkan Chong Wei yang melakar gelaran ke-12 Terbuka Malaysia, semalam, beliau percaya pemain itu masih kekal sebagai pencabar utama untuk memenangi pingat emas di Tokyo.

"Saya tidak hairan apabila dia mengatakan mahu beraksi pada Olimpik Tokyo 2020.

"Berdasarkan apa yang saya lihat sekarang, dengan latihan yang begitu cukup, bebanan latihan yang masih sama, disiplin yang tinggi dan ketepatan masanya untuk menjalani latihan, itu semua tidak pernah berubah seperti 16 tahun lalu.

"Chong Wei tidak pernah berubah, dia tidak pernah mengatakan tidak untuk mengharungi apa juga latihan kecuali dia benar-benar penat.

"Usia bukan halangan sebaliknya keinginannya yang masih tinggi untuk beraksi.

"Dalam setiap kejohanan dia ada sasarannya yang tersendiri dan itu yang membuatkan dia kekal bermotivasi," kata Misbun yang membantu Chong Wei meraih perak pertama Olimpiknya di Beijing pada 2008.

Semalam, pemain berusia 36 tahun itu membuktikan dia masih mampu beraksi di peringkat tertinggi apabila meraih gelaran ke-12 Terbuka Malaysia.

Chong Wei menundukkan pemain sedang meningkat dari Jepun, Kento Momota 21-17, 23-21 dalam aksi final di Arena Axiata Bukit Jalil.

Rekod yang diciptanya itu disifatkan luar biasa dan mustahil untuk diatasi mana-mana pemain dunia yang lain termasuk pemain Malaysia sendiri.

"Kalau kita tengok perlawanan itu, Momota memberi tekanan kepada kepada Chong Wei sehingga ke penghujung perlawanan.

"Jadi, Chong Wei bijak dengan menggunakan pendekatan psikologi kerana dia tahu daripada aspek kepantasan dan kecergasan, memang dia kurang berbanding Momota," kata Misbun.

Selepas Terbuka Malaysia, Chong Wei mengalihkan fokusnya kepada saingan Terbuka Indonesia di Jakarta yang akan bermula esok.

Dia yang sudah enam kali meraih gelaran Terbuka Indonesia berpeluang mencipta satu lagi rekod dalam kerjayanya dengan menjadi paling banyak muncul juara jika berjaya menghasilkan kejayaan pada edisi kali ini.

Berita Harian X