Rabu, 27 Jun 2018 | 11:10am
RAFAEL Nadal . - Foto EPA

Nadal mahu menamatkan kemarau Wimbledon

LONDON: Rafael Nadal kekal sebagai raja gelanggang tanah liat namun pemain nombor satu dunia itu tiba di Wimbledon dengan harapan mampu untuk muncul juara buat kali pertama sejak 2010.

 Nadal mengekalkan penguasaan luar biasa di Roland Garros awal bulan ini apabila mengalahkan Dominic Thiem bagi merangkul kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-11.

 Pemain kelahiran Sepanyol itu menguasai gelanggang kegemarannya itu tahun ini, dengan meraih kejuaraan di Monte Carlo, Barcelona dan Rome.

 Penguasaan yang dilakukan Nadal itu menunjukkan dia sudah bangkit dari masalah kecederaan sejak dua tahun lalu.

 Dia meraih tiga daripada lima kejuaraan Grand Slam, termasuk memenangi Terbuka Perancis dua tahun berturut-turut dan menjulang trofi Terbuka Amerika Syarikat pada 2017.

 Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu semakin berdepan kesukaran untuk memindahkan kecemerlangan di tanah liat kepada gelanggang rumput di All England Club sejak kebelakangan ini.

 Dia yang sudah meraih 17 gelaran Grand Slam kali terakhir muncul juara di Wimbledon ialah lapan tahun lalu dan tidak berjaya melepasi pusingan kedua sejak 2012.

 Nadal mengakui sebelum ini dia berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan peralihan dari gelanggang tanah liat ke rumput.

 Lantunan rendah di permukaan rumput mengancam kecederaan lutut yang dialami sejak beberapa tahun sebelum ini.

 Disebabkan terlampau memikirkan perkara berkenaan, Nadal mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai kejohanan pemanas badan di Queen's Club minggu lalu.

 "Saya melalui kempen yang sangat sibuk di kejohanan gelanggang permukaan tanah liat dan badan saya memerlukan rehat kerana perubahan drastik tidak terlalu bagus.

 "Saya perlu menghabiskan masa untuk menyesuaikan diri secara fizikal. Saya akan tiba di Wimbledon dengan kurang persediaan tetapi memiliki keyakinan tinggi kerana bermain dengan baik sepanjang aksi di gelanggang tanah liat musim ini," kata Nadal.

 Nadal sudah melakukan persiapan untuk Wimbledon sejak beberapa minggu ini di gelanggang rumput di Terbuka Mallorca berhampiran kediamannya di Manacor.

 Ketika sesi latihan berkenaan, dia berdepan saat mendebarkan apabila buku lalinya terseliuh namun berjaya sembuh dalam tempoh singkat serta membolehkannya menyertai perlawanan pertunjukan di London. - AFP

Berita Harian X