Selasa, 29 Mei 2018 | 11:31am
AKSI Stan Wawrinka dari Switzerland ketika menentang Guillermo Garcia-Lopez dari Sepanyol pada perlawanan Roland Garros, di Paris. - Foto EPA

Wawrinka tersingkir, Wozniacki mara Terbuka Perancis

PARIS: Bekas juara Terbuka Perancis, Stan Wawrinka tersingkir seawal pusingan pertama di tangan Guillermo Garcia-Lopez semalam, sekaligus bakal menyaksikan rankingnya terus menjunam mankala hujan pada sebelah petang menangguhkan aksi pertama Rafael Nadal untuk memburu gelaran Roland Garros ke-11.

Sewaktu permainan ditangguhlkan, Nadal yang juga pemain nombor satu dunia sudah mendahului  6-4, 6-3, 0-3  ke atas pemain Itali, Simone Bolelli.

Hujan turut menghalang juara dua kali, Maria Sharapova daripada memulakan kempennya menentang Richel Hogenkamp dari Belanda.


CAROLINE Wozniacki dari Denmark membalas pukulan Danielle Collins dari Amerika Syarikat pada pusingan pertama Roland Garros di Paris. - Foto EPA

Namun juara 2016, Novak Djokovic dan juara Terbuka Australia, Caroline Wozniacki bernasib baik mara ke pusingan kedua apabila memenangi perlawanan masing-masing sebelum hujan.

Wawrinka yang tewas kepada Nadal pada final tahun lalu dan menjuarai gelaran 2016, tewas dalam aksi lima set  6-2, 3-6, 4-6, 7-6 (7/5), 6-3 kepada pemain nombor ke-67 dunia dari Sepanyoli di Court Suzanne Lenglen.

Pemain berusia 33 tahun itu bergelut dengan kecederaan lutut dan tiba di Roland Garros dengan hanya satu kemenangan di gelanggang tanah liat di Geneva minggu lalu, kejohanan pertamanya dalam tempoh tiga bulan.

Kekalahan itu bermakna juara Grand Slam tiga kaii itu akan menjunam dari ranking ke-30 dunia ke kelompok luar daripada 250 pemain selepas kejohanan itu apabila gagal mempertahankan ranking yang diraihnya pada 2017.

"Saya tidak kesal dengan kejatuhan ranking, ia memang sukar," kata Wawrinka, pilihan ke-23 tahun ini.

"Namun saya sedar bahawa ia akan mengambil yang sangat lama untuk kembali. Saya menyedarinya sejak pembedahan itu bahawa ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk berada pada tahap yang saya mahukan."

Dia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminatnya apabila menangguhkan permainan untuk menjalani rawatan selepas enam game, namun dia menafikan kebimbangan kemungkinan kecederaan lutut kirinya akan bertambah serius.

"Lutut saya dalam keadaan baik. Saya berdepan masalah pada awal set pertama dan itulah sebabnya saya mohon tangguhkan permainan," katanya.

Sementara itu, Djokovic tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua apabila menewaskan pemain nombor ke-134 dunia dari Brazil, Rogerio Dutra Silva 6-3, 6-4, 6-4.

- AFP

Berita Harian X