Isnin, 28 Mei 2018 | 8:53pm
PEMAIN perseorangan Malaysia, Tan Jia Wei . - Foto Eizairi Shamsudin

Pujian Misbun lonjak semangat Jia Wei

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Tan Jia Wei semakin bersemangat untuk meneruskan aksi musim ini selepas ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek meletakkannya sebagai tonggak yang bakal menyinar pada masa akan datang bersama Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.

Menurut Jia Wei, dia sangat berterima kasih dengan kenyataan dan kepercayaan yang diberikan jurulatihya itu sekali gus menjadi pembakar semangat untuk memberikan aksi cemerlang termasuk menjelang Terbuka Amerika Syarikat (12 hingga 17 Jun).

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih Misbun, kerana sangat mempercayai kemampuan saya. Setiap dari kami memang mempunyai corak permainan tersendiri tapi saya masih lagi berharap mampu untuk menjadi salah seorang tonggak harapannya," kata Jia Wei.

Menurut pemain berusia 20 tahun itu, berada di bawah bimbingan Misbun memang banyak memberi kelebihan buatnya, ini kerana banyak yang dipelajarinya dan berasa senang dengan program latihan setiap hari.

Sebelum ini, Misbun pernah mengeluarkan kenyataan mengenai masa depan pemain perseorangan lelaki negara sebaik cabaran Malaysia berakhir di Piala Thomas minggu lalu apabila kalah 3-1 kepada Indonesia di suku akhir.

Misbun mengakui bukan saja Zii Jia yang bakal menggalas harapan pemain perseorangan lelaki pada masa akan datang selepas mempamerkan permainan terpuji di Bangkok, malah tiga lagi pemain (Jun Hao, June Wei dan Jia Wei) juga tidak boleh diperkecilkan.

Ditanya berkenaan persiapan menjelang Terbuka Amerika Syarikat, pemain yang berada di ranking 156 dunia itu mengakui semuanya berjalan lancar dan menganggap kejohanan berkenaan sebagai satu pembelajaran buatnya.

"Saya akan berikan yang terbaik pusingan demi pusingan di sana," kata Jia Wei yang selepas itu akan beraksi di Siri Antarabangsa Mongolia (28 Jun hingga 1 Julai).

Jia Wei masih lagi memburu kejuaraan sulung untuk musim ini dan paling hampir ketika beraksi di Cabaran Antarabangsa Malaysia namun dia hanya meraih gelaran naib juara selepas tumpas 18-21, 19-21 kepada Hsueh Hsuan Yi dari Taiwan di final.

Tahun lalu Jia Wei berjaya meraih satu gelaran apabila muncul juara Terbuka Poland selepas mengalahkan Ygor Coelho (Brazil) 21-13, 20-22, 21-10.

 

25 dibaca
Berita Harian X