Isnin, 28 Mei 2018 | 12:32pm
Pemain perseorangan lelaki Jepun, Kento Momota yang berjaya menewaskan pemain pilihan pertama China , Chen Long dengan mata 21 - 9 dan 21 - 18 di pelawanan akhir Piala Thomas pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Momota dedah rahsia kebangkitan

BANGKOK: Kento Momota mungkin tidak memenangi Piala Thomas untuk negaranya tetapi kejayaannya kembali ke puncak selepas penggantungan menceritakan perjalanan seorang pemain badminton yang ditakdirkan bergelar bintang.

Pada April 2018, pemain berkenaan digantung oleh Persatuan Badminton Jepun selepas mengakui mengunjungi kasino haram di negara itu.

Akibatnya, Momota yang disandarkan pingat tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 dan Piala Thomas di Kunshan, China di mana Jepun gagal mempertahankan kejuaraan mereka pada 2014.

Berada di ranking kedua ketika itu, pemain berusia 24 tahun ini dikatakan bakal kehilangan segala-galanya namun ia bukan penamat buatnya.

Momota kembali pertengahan tahun lalu, selepas penggantungan itu berakhir dan kembali menarik perhatian apabila mara ke enam final dalam enam kejohanan dan menang lima gelaran berturut-turut.

Tahun ini Momota mengukuhkan dominasinya apabila mengecewakan juara Olimpik Chen Long pada final Kejuaraan Badminton Asia di Wuhan, China.

Ia tidak terhenti di situ. Momota yang kembali mengisi skuad Jepun membawa negaranya ke final kedua Piala Thomas di Bangkok.

Biarpun berjaya menewaskan Chen Long, skuad Jepun gagal menghalang kemaraan China yang menang 3-1 pada final.

Apakah rahsia Momota? Selain fokus kepada latihan fizikal sewaktu penggantungan, bagaimana dia pantas kembali ke tahap terbaik?

"Ia saat yang sukar bagi saya, sewaktu menjalani penggantungan. Bagaimanapun saya menggunakan masa itu untuk menilai kesilapan dan bermula dari bawah.

"Saya mengunjungi kem remaja dan melihat mereka berlatih bersungguh-sungguh. Ia membuat saya sedar, mengapa saya jatuh cinta dengan sukan ini," kata Momota selepas perlawanan akhir.

Selepas berjaya menewaskan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, selain Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long tahun ini, Momota tidak akan berdepan masalah untuk mencapai sasaran menjadi nombor satu dunia.

Menjelang Piala Dunia dan Sukan Asia ini, Momota pastinya tampil sebagai pemain yang perlu ditewaskan.

Berita Harian X