Rabu, 23 Mei 2018 | 9:06pm
KETUA jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock berkatakan sesuatu kepada pemainnya Lee Ying Ying pada Kejohanan Badminton Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Perseorangan wanita perlu konsisten: Seu Bock

 

BANGKOK: Perseorangan wanita negara perlu berusaha lebih keras untuk memuaskan hati ketua jurulatih Tey Seu Bock.

Pemain-pemain seperti Soniia Cheah dan bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei, mungkin sudah beraksi baik di Piala Uber sehingga mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria, tetapi bukan daripada Seu Bock yang merasakan masih banyak yang perlu mereka lakukan.

Hari ini cabaran Malaysia dalam acara berpasukan wanita di Bangkok berakhir apabila skuad negara hanya menamatkan saingan Kumpulan D di tempat ketiga, di belakang juara 14 kali China dan Indonesia.

Malaysia hanya mencatat kemenangan ke atas Perancis, tetapi kemenangan 5-0 itu tidak membantu mereka layak ke suku akhir di mana hanya dua pasukan teratas akan mara.

"Mereka beraksi baik tetapi bagi saya ia tidak mencukupi. Jika mereka tidak dapat beraksi konsisten, bermakna mereka belum cukup bagus untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia," kata Seu Bock.

"Jika anda perasan, Soniia dan Jin Wei bermain baik menentang lawan pada ranking lebih tinggi dari Indonesia dan China, tetapi persembahan merosot apabila bertemu lawan dari ranking lebih rendah. 

"Jika anda mahu berada dalam kelompok 20 terbaik dunia, anda perlu secara lebih konsisten mara ke suku akhir kejohanan berprestij. Pemain-pemain kita gagal melepasi pusingan pertama dan kedua, jadi ia sukar. Kita belum sampai ke tahap itu."

Menurut Seu Bock, untuk meningkatkan kualiti perseorangan negara mereka perlu berlatih lebih kuat dan tidak boleh berputus asa.

"Ketika ini mereka mempunyai sikap yang betul, tetapi masih banyak yang boleh dilakukan," katanya.

Tumpuan selepas ini adalah memastikan skuad wanita bersedia untuk Sukan Asia Indonesia Ogos ini.

 

Berita Harian X