Isnin, 14 Mei 2018 | 9:45am
ALEXANDER Zverev mengucup trofi kejuaraan apabila mengalahkan Dominic Thiem pada final Terbuka Madrid, awal pagi tadi. - Foto AFP

Zverev benam Thiem juarai Terbuka Madrid

MADRID: Dominic Thiem tewas kepada Alexander Zverev pada final Terbuka Madrid awal pagi tadi dan kemudian menyatakan bintang muda Jerman itu kini pemain terbaik di dunia di belakang Roger Federer dan Rafael Nadal.

Zverev sudah lama dianggap sebagai bintang masa depan tenis lelaki dan kemenangan 6-4, 6-4 ke atas Thiem menyebabkannya muncul antara ancaman utama pada Terbuka Perancis, hujung bulan ini.

Thiem menyingkirkan Nadal pada suku akhir Jumaat lalu dan dia juga antara kelompok kecil pemain yang mampu menyekat pemain Sepanyol itu daripada merangkul kejuaraan ke-11 di Roland Garros.

Namun pemain Austria itu gagal menyaingi Zverev, yang meraih kejuaraan ketiga dalam siri Masters 1000 Jelajah Dunia ATP, tahap kedua kejohanan kalah mati selepas empat kejuaraan Grand Slam.

Zverev kini seorang daripada lima pemain aktif yang menang tiga, selainnya adalah Federer, Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray.

Empat pemain itu semuanya berusia 30 tahun atau lebih manakala Zverev hanya berusia 21 tahun dengan Djokovic dan Murray kedua-duanya cuba meneruskan misi selepas kecederaan.

"Saya suka katakan mungkin ketika ini di samping Roger dan Rafa, dia adalah yang terbaik," kata Thiem. "Anda hanya perlu melihat kepada keputusannya."

Menduduki ranking ketiga di dunia, Zverev masih belum menterjemahkan bakat dan kejayaannya dalam acara Masters kepada acara Grand Slam, yang mana keputusan terbaiknya adalah layak ke pusingan keempat Wimbledon tahun lalu.

"Rafa adalah pilihan utama, tidak kira di mana dia bermain, terutama gelanggang tanah liat," ujar Zverev. "Dia akan menjadi pilihan utama di Rome, dia juga pilihan utama di Paris. Dia masih menjadi pemain yang perlu ditewaskan." - AFP

Berita Harian X