Rabu, 9 Mei 2018 | 2:35pm
MILOS Raonic mara ke pusingan ketiga Terbuka Madrid. - Foto REUTERS

Raonic sukar digugat

MADRID: Milos Raonic menewaskan pilihan ketiga, Grigor Dimitrov 7-5, 3-6, 6-3 untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Madrid dan bakal menentang rakan senegara, Denis Shapovalov.

Pemain remaja, Shapovalov sebelum itu mempamerkan aksi hebat ketika merencatkan sambutan hari jadi ke-29 pemain Perancis, Benoit Paire sebelum menang 7-6(5,) 4-6, 6-4.

Raonic yang sebelum ini hanya sekali menewaskan pemain Bulgaria itu mempamerkan pukulan kencang dan lebih kemas memaksa lawannya gagal mengekalkan momentum di set ketiga.

Pemain Britain, Kyle Edmund pula menewaskan pemain Russia, Daniil Medvedev 6-4, 6-0 bagi menempah pertembungan dengan Novak Djokovic yang kembali mendapat rentak terbaik.

Kejayaan juara 12 kali Grand Slam itu menewaskan Kei Nishikori semalam sedikit pun tidak menggusarkan Edmund.

"Saya tak peduli, tak perlu bimbang. Saya hanya mahu nikmati permainan," kata Edmund.

"Ramai lagi pemain berjaya mencipta kejutan. Saya fikir pemain terbaik atas tanah liat ketika ini ialah Rafa (Nadal)."

Sementara itu, pemain nombor enam dunia, Juan Martin del Potro mengatasi cabaran pemain Bosnia, Damir Dzumhur 6-3, 6-3 untuk mara kepusingan ketiga. Pemain Argentina itu menyelamatkan dua daripada tiga mata penamat, 19 kemenangan dan hanya melakukan 20 kesilapan untuk menempah pertemuan dengan Dusan Lajovic.

"Saya tidak boleh pandang mudah Lajovic. Dia bijak beraksi di atas tanah liat. Saya akan cuba beraksi lebih baik lagi," kata Del Potro.

Pemain Croatia, Borna Coric mengejutkan pilihan kesembilan, Pablo Carreno Busta 6-4, 6-2 di pusingan pembukaan. Coric bangkit selepas ketinggalan 4-3 dan menang lima permainan berturut-turut sekali gus kemenangan kedua ke atas pemain Spanyol itu yang dikalahkannya di Terbuka Qatar, awal tahun ini. - Reuters

Berita Harian X