Khamis, 3 Mei 2018 | 4:55pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan) giat pilih bakat babahru. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

BAM tumpu gilap bakat muda

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk memilih bakat baharu berbanding pemain bepengalaman bagi skuad Piala Thomas dan Uber tahun ini.

Hasil mesyuarat jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini, BAM menyenaraikan 10 pemain bagi setiap skuad Piala Thomas dan Uber di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, pemilihan dibuat berdasarkan cadangan ketua jurulatih yang akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi kempen kali ini.

Walaupun kelihatan seperti satu percaturan berisiko, Norza berkata, ia juga dibuat berdasarkan prestasi terkini dan karakter pemain.

"Rasional di sebalik pemilihan ini berdasarkan prestasi terkini dan dari semua sudut. Bagi beregu lelaki, Cheah Soon Kit (ketua jurulatih) sudah berbincang dengan jurulatih lain termasuk Paulus (Firman) dan mereka percaya pemain ini akan membentuk gandingan terbaik," kata Norza.

"Kami juga mahu memberi pendedahan kepada bakat baru, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Untuk sekian lama kami bergantung kepada pemain senior, jadi sudah tiba masanya pemain muda diberi peluang.

"Jika anda perasan, pada 2015 (di New Delhi) Goh V Shem-Tan Wee Kiong adalah beregu baru, di situlah mereka mendapat pendedahan. Ia pelaburan untuk masa depan."

Mengenai pengguguran Ong Yew Sin daripada skuad tetapi gandingannya Teo Ee Yi dikekalkan, Norza berkata: "Kerana beregu lain beraksi lebih baik, baik ketika latihan mahupun mereka yang sedang diuji.

"Kami juga melihat karakter dan personaliti pemain. Melihat kepada Cabaran Antarabangsa Malaysia baru-baru ini, pemain seperti Aaron-Wooi Yik beraksi cemerlang.

"Kami mahu pemain yang dahagakan kejayaan dan keyakinan untuk menewaskan sesiapa saja. Kami (BAM) perlu berani mengambil keputusan ini dan saya percaya ini adalah skuad terbaik."

SENARAI SKUAD

Piala Thomas:

Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Leong Jun Hao, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi, Arif Latif

Piala Uber:

Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lee Ying Ying, S Kisona, Vivian Hoo, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Goh Yea Ching, Soong Fie Cho, Tee Jing Yi

Berita Harian X