Selasa, 1 Mei 2018 | 12:20pm
PEMAIN Afrika Selatan, Kevin Anderson sedia untuk menjulang gelaran Roland Garros di Terbuka Estoril. - Foto REUTERS

Anderson mahu takluk Estoril

ESTORIL, Portugal: Pilihan utama, Kevin Anderson berkata dia sudah bersiap sedia untuk memulakan persiapan ke Roland Garros di Terbuka Estoril, dan berharap dapat menjulang gelaran di gelanggang tanah liat buat kali pertama.

Pemain nombor lapan dunia, yang tewas pada final Terbuka Amerika Syarikat kepada Rafael Nadal tahun lalu mendapat bye ke pusingan kedua apabila dia akan berdepan sama ada naib juara Terbuka Barcelona dari Greece Stefanos Tsitsipas atau Pablo Andujar dari Sepanyol.

Anderson, pemain Afrika Selatan itu kali terakhir beraksi di Miami bulan lalu, tewas kepada Pablo Carreno Busta pada suku akhir.

"Saya tidak sabar memulakan kempen minggu ini, yang pertama di gelanggang tanah liat musim ini," kata Anderson.

"Saya mempunyai masa untuk persiapan. Saya berehat seketika selepas Miami, perlu merawat kesakitan dan kecederaan kecil. Namun tubuh saya sekarang semakin baik dan mempunyai harapan yang tinggi.

"Saya tidak pernah menang sebarang gelaran di gelanggang tanah liat, ia menjadi sasaran utama buat saya."

Anderson, yang beraksi pada separuh akhir di Estoril tahun lalu, kelihatan jauh lebih baik berbanding musim lalu sewaktu menjadi pemain bukan pilihan, berada di ranking 66 dunia dan pulih daripada kecederaan.

Selepas menewaskan juara 2015 Richard Gasquet pada suku akhir dia tewas kepada Gilles Muller pada pusingan seterusnya.

"Tahun lalu saya baru kembali daripada kecederaan, ia minggu yang bermakna bagi saya dan ia juga separuh akhir pertama sejak sekian lama," kata Anderson.

"Kini, setahun kemudian, saya rasa lebih baik, saya menunjukkan peningkatan dan memperbaiki ranking." - AFP

Berita Harian X