Khamis, 26 April 2018 | 8:15am
DJOKOVIC mengakui kekalahan mengejutnya di kejohanan ATP Terbuka Barcelona disebabkan dia kurang beraksi di pentas kompetitif. - Foto AFP

Djokovic tenggelam, Nadal mara

BARCELONA: Novak Djokovic mengakui kekalahan mengejutnya di kejohanan ATP Terbuka Barcelona sebaik pulih daripada kecederaan adalah disebabkan dia kurang beraksi di pentas kompetitif.

Djokovic pada awalnya diramalkan bertemu Rafael Nadal di suku akhir, tetapi persembahan buruk menghadiahkan lawannya pusingan kedua Martin Klizan kemenangan 6-2, 1-6, 6-3, awal pagi tadi.

Berbeza buat Nadal yang juga pemain nombor satu dunia, dia tidak berdepan masalah besar untuk mengetepikan rakan senegara Roberto Carballes Baena 6-4, 6-4.


NADAL mengetepikan rakan senegara Roberto Carballes Baena 6-4, 6-4. - Foto AFP

Dengan Klizan di ranking ke-140 dunia mara untuk bertemu pemain Sepanyol, Feliciano Lopez pada pusingan 16 terakhir, Djokovic kini terpaksa memberi fokus penuh bagi menghadapi Grand Slam Terbuka Perancis bulan depan.

"Anda boleh bekerja keras sewaktu latihan tetapi apabila anda memasuki gelanggang pertandingan ia amat berbeza," kata Djokovic kepada pemberita selepas kekalahannya.

"Saya kurang mendapat aksi kompetitif untuk tempoh 12 bulan terakhir dan kurang biasa dengan situasi hari perlawanan."

Begitupun, kekalahan terbaru itu bukan sesuatu yang amat mengejutkan buat Djokovic.

Selepas kecundang di pusingan keempat Terbuka Australia, Januari lalu bintang Serbia itu sudah menjalani pembedahan untuk memulihkan masalah siku yang menghantuinya sejak dua tahun lalu.

Masalah itu seakan menjadi punca membawa kepada kemerosotan pemenang 12 Grand Slam itu yang hanya sekali mara ke pentas final kejohanan utama sejak memenangi Terbuka Perancis 2016.

Sementara itu, Nadal sekali lagi dijadualkan menentang rakan senegara, Guillermo Garcia Lopez, yang mara selepas Kei Nishikori menarik diri berikutan masalah pergelangan tangan. - AFP

Berita Harian X