Jumaat, 20 April 2018 | 10:26am
NADAL menewaskan Khachanov untuk mara ke suku akhir. -Foto AFP

Nadal bertemu Thiem di suku akhir

MONTE CARLO: Pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal menewaskan pemain Russia, Karen Khachanov 6-3, 6-2 untuk melangkah ke pusingan suku akhir Master Monte Carlo yang "sukar" seterusnya akan bertemu Dominic Thiem dari Austria yang terdahulu mengejutkan Novak Djokovic.

Nadal perlu memenangi gelaran Monte Carlo ke-11 bagi mengatasi Roger Federer untuk berada di tempat teratas ranking dunia dan juara 16 kali Grand Slam itu mudah menewaskan Khachanov.

Kachanov pada mulanya memberi tentangan sengit pada set pembukaan tetapi Nadal meningkatkan permainannya bagi merangkul kemenangan selesa yang keduanya pada minggu ini selepas perlawanan pembukaan menentang Aljaz Bedene.

"Kejayaan yang baik. Menang mudah terhadap lawan yang sukar. Itu adalah apa yang berlaku," kata Nadal.

Thiem bakal memberi laluan sukar buatnya dalam pusingan lapan terakhir nanti, selepas pemain pilihan kelima itu pada mulanya ketinggalan satu set di belakang Djokovic.

Nadal sudah dua kali tewas kepada Thiem dalam perlawanan di gelanggang tanah liat tetapi mempamer persembahan dominan pada separuh akhir Terbuka Perancis tahun lalu dalam misinya menjulang gelaran Roland Garros ke-10.

"Ia akan menjadi pertarungan yang sukar," kata Nadal yang berumur 31 tahun.

"(Dia) adalah pemain yang bermain dengan sangat baik di setiap permukaan terutama sekali di tanah liat. Dia membuat pukulan bola dengan kuat.

"Saya tidak boleh memberikan dia bermain dalam kedudukan yang baik kerana dia mempunyai kekuatan ... Saya perlu bermain agresif dengan kesungguhan tinggi daripadanya, jadi kita lihat nanti."

Nadal dalam usaha merekodkan gelaran Master kali ke-31 dan 24 di gelanggang tanah liat.

Terdahulu, Thiem yang dua kali mara ke separuh akhir Terbuka Perancis, menundukkan Djokovic dengan 6-7 (2-7), 6-2, 6-3. - AFP

Berita Harian X