Isnin, 9 April 2018 | 6:55pm
LEE Zii Jia mahu menjadikan saingan China Masters sebagai medan meningkatkan tahap keyakinan. - Foto AIZUDDIN SAAD

Zii Jia cari tonik di China 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu menjadikan saingan China Masters yang bermula esok sebagai medan meningkatkan tahap keyakinannya sebelum beraksi pada Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand bulan depan. 

Zii Jia, 19, yang hampir pasti menggalas tugas selaku perseorangan kedua skuad negara di Bangkok, berkata penting untuk dia menghasilkan keputusan positif dalam kejohanan berkenaan sebelum menggalas tanggungjawab lebih mencabar bagi menyumbangkan mata dalam setiap perlawanan. 

"Saya harap boleh dapat keputusan yang baik di China. Ia boleh dianggap kejohanan pemanas badan sebelum beraksi pada Piala Thomas. 

"Ia juga peluang untuk saya menilai sejauh mana tahap persiapan sebelum Piala Thomas. Jika saya dapat dapat menghasilkan keputusan yang positif, sudah pasti ia akan meningkatkan tahap keyakinan saya. Saya mahu cipta kejutan untuk menewaskan pemain di ranking yang lebih tinggi," kata Zii Jia. 

Di China Masters, Zii Jia mendapat bye di pusingan pertama dan akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain India, K Kartikey Gulshan dengan Li Shifeng dari China pada aksi pusingan kedua. 

Bakal menggalas tugas selaku perseorangan kedua, Zii Jia mengakui ia bukan tugas mudah apatah lagi Malaysia akan bertemu Denmark dalam saingan peringkat kumpulan Piala Thomas. 

Selain Denmark, Malaysia turut diundi bersama Russia dan Algeria dalam Kumpulan D. 

"Tiga pemain utama perseorangan Denmark memang bagus dan berkualiti, bukan mudah mahu tewaskan mereka. Namun, saya tidak mahu terlalu fikir sangat kerana yang paling penting persiapan saya sendiri, saya tetap percaya ada peluang untuk mencatat kemenangan jika diturunkan," katanya. 

Ketika ini, tiga perseorangan negara sudah pasti akan ke Bangkok ialah Datuk Lee Chong Wei, Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin. 

Fokus kini terarah kepada perebutan slot selaku perseorangan keempat yang menjadi rebutan antara Leong Jun Hao, Soong Joo Ven, Cheam June Wei selain perseorangan profesional, Goh Giap Chin.

13 dibaca
Berita Harian X