Isnin, 2 April 2018 | 10:24am
REAKSI John Isner selepas menewaskan wakil Jerman, Alexander Zverev pada final ATP Masters, semalam. - Foto AFP

Isner buat kejutan juarai Terbuka Miami

MIAMI: John Isner akhirnya menamatkan sengsara final ATP Masters semalam dengan memenangi Terbuka Miami buat pertama kali selepas menewaskan pemain Jerman Alexander Zverev 6-7 (4/7), 6-4, 6-4.

Pemain pilihan ke-14 itu tewas tiga aksi final major pada tahun 2012, 2013 dan 2016, tetapi bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Zverev dalam tempoh dua jam 29 minit.

Kemenangan itu melengkapkan kejohanan menakjubkan buat Isner, yang mengharungi permulaan sukar tahun ini termasuk tersingkir di pusingan pertama di Indian Wells sebelum hadir di Miami.

"Saya tidak menjangka perkara sebegini. Saya datang ke kejohanan, saya menang satu perlawanan ATP (Jelajah Dunia) sepanjang tahun dan bermain dengan teruk sekali," kata Isner.

"Saya menang perlawanan pertama dalam tiga set dan itu yang berlaku dalam tenis - anda mula mendapat keyakinan dan keadaan mula berpihak kepada anda."

Isner adalah pemain Amerika Syarikat pertama sejak Andy Roddick pada tahun 2010 menjulang kejuaraan di Miami.

Isner juga bakal melonjak ke ranking tertinggi dalam kariernya - di tangga kesembilan selepas kemenangan itu - untuk kejuaraan ke-13 dirinya.

"Kini terpulang kepada saya untuk terus maju. Untuk melepasi halangan dalam kejohanan sebegini adalah sesuatu yang besar daripada segi mental buat saya.

"Kami melepasi halangan itu minggu ini. Saya tampil dalam setiap perlawanan dengan tenang dan segar. Saya mampu menjadi cabaran jika terus bermain dengan tenang," katanya. - AFP

Berita Harian X