Sabtu, 31 March 2018 | 7:18am
ISNER menewaskan Del Potro 6-1, 7-6 (7/2), awal pagi tadi. FOTO/AFP

Isner kejutkan Del Potro, mara final

MIAMI: John Isner menampilkan persembahan hebat di separuh akhir Masters ATP Terbuka Miami apabila menyingkirkan pilihan juara, Martin del Potro dengan kemenangan 6-1, 7-6 (7/2), awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan deretan 15 kemenangan berturut-turut bekas pemenang Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat dari Argentina itu berakhir.

Begitupun bagi menewaskan Del Potro, Isner perlu berusaha keras malah memerlukan 13 servis ace dalam perlawanan yang mengambil masa satu jam 23 minit untuk ke final.

Pemain tuan rumah itu dijadual bertemu sama ada Alexander Zverev atau Pablo Carreno Busta dalam satu lagi aksi separuh akhir.


DEL Potro membalas pukulan Isner. FOTO/AFP

Tiba di Selatan Florida dengan hanya enam kemenangan pada 2018, Isner, 32, begitupun tampak semakin bertambah baik di Key Biscayne dan bersedia memburu gelaran Masters pertamanya.

"Saya sudah mengharungi banyak perlawanan yang besar dan tidak berjaya mendapatkan permulaan yang baik tetapi kini saya bermain permainan terbaik saya untuk tempoh masa yang lama," kata Isner.

"Saya amat gembira. Dia amat penat dan sudah bermain begitu banyak perlawanan dan sekali pun set pertama berlangsung dengan pantas, saya tahu ia tidak akan berlaku lagi pada set kedua.

"Saya tidak fikir saya tidak boleh lagi menoleh ke belakang selepas apa yang saya harungi setakat ini. Saya memulakan kejohanan dengan baik dan meningkat dalam setiap permainan. Saya amat segar dan bersedia untuk final."

Del Potro mengakui dirinya keletihan dan bercadang untuk mengambil sedikit masa untuk berehat sebelum memutuskan kejohanan yang akan disertai berikutnya.

Memenangi aksi di final akan menyaksikan kedudukan rankingnya melonjak kepada tiga dunia tetapi kekal cergas bagi menghadapi Terbuka Perancis pada Mei depan adalah sasaran utamanya.

"Saya tidak mahu berfikir mengenai tenis ketika ini. Saya hanya mahu kekal sihat dan mungkin akan melepaskan beberapa kejohanan untuk bersedia bagi Terbuka Perancis." - AFP

Berita Harian X