Selasa, 20 March 2018 | 11:25am
DEL Potro kini memburu gelaran ketiga ATP berturut-turut pada Kejohanan Masters Miami minggu ini. - Foto EPA

Del Potro buru hatrik ATP

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Nasib mula menyebelahi Juan Martin del Potro yang kini memburu gelaran ketiga ATP berturut-turut pada Kejohanan Masters Miami minggu ini.

Aksi di selatan Florida mencipta kejutan semalam apabila Del Potro meraih tiga mata untuk memberikan pemain nombor satu dunia Roger Federer kekalahan pertamanya pada 2018 dengan kemenangan 6-4, 6-7 (8/10), 7-6 (7/2) di Masters Indian Wells.

Kemenangan itu, ditambah kecederaan dialami Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray, menjadikan Del Potro ancaman utama buat Federer dalam Jelajah ATP.

"Inilah masa untuk meraikannya kerana saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memenanginya," kata Del Potro.

"Saya kemudiannya akan bersiap sedia untuk ke Miami. Ia salah satu kejohanan kegemaran saya dalam jelajah ini.

"Ramai penonton Amerika Latin mengharapkan saya bermain di sana. Ia membuat saya berasa sungguh istimewa. Saya ingin memberi kejutan terhadap diri dan lihat sejauh mana saya boleh pergi."

Del Potro, 29, meraih gelaran kedua ATP berturut-turut dan mencatat kemenangan terbesar selepas kembali daripada beberapa pembedahan pergelangan tangan.

Federer mencatat rekod kemenangan 17-0 musim ini sebelum ke final Indian Wells di mana ia adalah pencapaian terbaik buatnya.

Del Potro turut menjulang gelaran awal bulan ini di Acapulco, di mana dia menewaskan tiga pemain di ranking lapan teratas berturut-turut sebelum menjulang gelaran ke-21.

Dia kembali ke kelompok 10 terbaik musim ini buat kali pertama sejak 2014 apabila menduduki ranking keenam semalam.

Dia jatuh ke ranking 1,045 dunia sebelum kembali bermain susulan pembedahan pergelangan tangan kiri pada 2016. - AFP

Berita Harian X