Ahad, 18 March 2018 | 2:50pm
Del Potro meraikan kejayaannya melangkah ke final selepas menewaskan Raonic. -Foto EPA

Federer, Del Potro ke final Indian Wells

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pemain nombor satu dunia, Roger Federer meneruskan rentak cemerlang dalam semusim apabila melakar kemenangan ke-17 berturut-turut dengan mara ke final Jelajah ATP Indian Wells Masters selepas menyingkirkan, Borna Coric, hari ini. 

Legenda dari Switzerland itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menang 5-7, 6-4, 6-4 menentang pemain yang menduduki ranking ke-49 dunia itu sekali gus mengatasi rekod 16 kemenangan berturut-turut ketika memulakan kempen pada 2006.

"Ia mengambil masa yang panjang untuk mendapatkan rekod ini," kata Federer. "Tetapi saya gembira. Ia perlawanan yang cukup sukar... Ia tidak datang dengan mudah jadi saya terpaksa berkerja keras untuk mendapatkannya.

"Saya memperoleh sedikit tuah. Tetapi saya turut bertahan dan bekerja keras untuk mendapatkan rekod ini.

"Fokus ketika ini harus tertumpu kepada aksi final. Tetapi bagus untuk memperoleh permulaan yang baik tahun ini dan saya berharap saya boleh bermain dengan baik juga esok."


ROGER FEDERER

Lawan penyandang juara yang sedang memburu gelaran keenam di Indian Wells itu ialah pemain di ranking lapan dunia dari Argentina, Juan Martin Del Potro.

Del Potro yang juga bekas pemenang Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat memperbaiki rekod perlawanannya kepada 16-3 musim ini selepas menewaskan pemain Kanada, Milos Raonic 6-2, 6-3 dalam tempoh 65 minit.

"Saya mematahkan servisnya dengan pantas pada kedua-dua set dan ia membolehkan saya mengawal permainan," kata Del Potro. 

"Ia perlawanan yang lebih mudah daripada saya jangkakan."

Federer ketika ini memiliki kelebihan psikologi apabila rekod pertembungan menyaksikan dia mengatasi Del Potro 18-6 tetapi kebanyakan perlawanan berlangsung dengan sengit dan pemain berusia 36 tahun itu menjangkakan satu lagi aksi yang mendebarkan.

Del Potro dalam pada itu berkata, dia bukan pemain pilihan bertemu Federer. - AFP

Berita Harian X