Sabtu, 3 March 2018 | 2:27pm
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria puji komitmen Paulus. - FOTO FAIL

BAM lantik Paulus bantu Soon Kit

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Paulus Firman sebagai jurulatih beregu lelaki yang baharu bagi membantu ketua jurulatih, Cheah Soon Kit.

Soon Kit kekurangan tenaga jurulatih untuk membantunya selepas Rosman Razak dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih beregu wanita.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pelantikan Paulus dibuat memandangkan hanya dia yang mampu memberikan komitmen dalam masa terdekat ini apatah lagi Malaysia kini dalam persiapan bagi menghadapi Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa lagi calon lain untuk jawatan ini, hanya Paulus yang boleh beri komitmen dan memulakan tugas dalam masa terdekat. Kami tidak boleh menunggu lagi kerana pasukan kita dalam persiapan untuk Piala Thomas.

"Kita perlukan jurulatih segera bagi membantu Soon Kit dalam persiapan menguatkan barisan pemain beregu lelaki menghadapi Piala Thomas," kata Norza ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Paulus tidak asing buat barisan pemain beregu lelaki negara kerana pernah menggalas tugas sama pada tahun 2013 selama 10 bulan sebelum berhijrah ke Filipina sebagai jurulatih negara berkenaan.

Dalam pada itu, Norza turut mengumumkan Soniia Cheah akan menggalas tugas sebagai perseorangan wanita pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia bulan depan menggantikan Goh Jin Wei yang digugurkan.

"Keputusan ini dibuat sepenuhnya ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pemain. Sonia menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Jin Wei.

"Soniia menyertai Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Chow Mei Kuan (beregu wanita), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie (beregu campuran)," katanya.

BAM turut memaklumkanTan Boon Heong menolak tawaran untuk kembali menyertai badan induk itu sebagai pemain beregu lelaki.

30 dibaca
Berita Harian X