Isnin, 5 Februari 2018 | 5:23pm
SETIAUSAHA Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai yakin skuad lelaki negara mampu memulakan aksi menentang Thailand esok dengan langkah kanan. - Foto Saifullizan Tamadi

Chin Chai yakin Malaysia juara kumpulan

ALOR SETAR: Pengurus pasukan, Datuk Ng Chin Chai melaungkan keyakinan awal bahawa skuad lelaki negara mampu muncul juara Kumpulan C di Kejohanan Berpasukan Asia yang akan bermula esok hingga Ahad ini.

Menurut Chin Chai yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), setakat ini semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan tidak berdepan masalah kecederaan sekali gus mampu memulakan aksi menentang Thailand esok dengan langkah kanan.

"Sebelum ini pemain beregu lelaki, Ong Yew Sin ada mengalami kecederaan belakang semasa berlatih dan sekarang dia sudah kembali cergas sepenuhnya untuk memulakan aksi dalam saingan peringkat kumpulan," katanya.

Jelasnya, pemain perseorangan lelaki negara yang baru saja menyertai Terbuka India, Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga cergas.

"Bagaimanapun, sama ada Iskandar akan diturunkan ataupun tidak bergantung kepada keputusan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.


KEPUTUSAN sama ada pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain akan diturunkan ataupun tidak bergantung kepada jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek. - Foto AFP

"Melihat pada keadaan semasa, skuad ini mampu untuk menjadi juara kumpulan namun mereka harus bekerja keras kerana setiap mata sangat penting," kata Chin Chai.

Dalam aksi pembukaan di Stadium Sultan Abdul Halim esok, skuad kebangsaan yang akan diketuai Datuk Lee Chong Wei akan memulakan kempen kelayakan Piala Thomas bertemu Thailand.

Selain Chong Wei dan Iskandar, dua lagi pemain perseorangan lelaki negara yang turut disenaraikan ialah Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven.

Sandaran Malaysia dalam acara beregu lelaki pula terletak di bahu pasangan Goh V Shem-Tan Wee Kiong bersama Teo Ee Yi-Yew Sin dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumasani.

Jika berjaya muncul juara kumpulan, Malaysia mampu mengelak berdepan laluan sukar di suku akhir sekali gus mencapai sasaran untuk mara ke separuh akhir dan mendapat tiket automatik ke Piala Thomas di Bangkok Mei depan.

Selain Thailand, turut berada dalam Kumpulan C ialah pasukan pilihan, Taiwan dan satu lagi wakil dari Asia Tenggara, Myanmar.

Berita Harian X