Selasa, 30 Januari 2018 | 9:26pm
PEMAIN Malaysia, Joo Ven Soong, terus bergelut untuk membuktikan pemilihannya dalam skuad negara ke kejohanan yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Thomas itu tepat apabila tewas dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan Terbuka India, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Joo Ven cemaskan Misbun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek harus gusar melihat prestasi tidak menentu anak buahnya, Soong Joo Ven terutama menjelang saingan Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, minggu depan.

Joo Ven terus bergelut untuk membuktikan pemilihannya dalam skuad negara ke kejohanan yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Thomas itu tepat apabila tewas dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan Terbuka India, hari ini.

Dia ditunjukkan jalan keluar oleh pemain muda India, Siddharth Pratap Singh apabila tewas 16-21, 21-15 21-14 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi.

Dua minggu lalu, perjuangan Joo Ven berakhir di pusingan pertama Malaysia Masters apabila tewas di tangan pemain Perancis, Brice Leverdez biarpun berjaya melepasi pusingan kelayakan.

Prestasi tidak konsisten Joo Ven seharusnya mengundang resah Misbun terutama jika khidmatnya terpaksa digunakan bagi menggalas cabaran perseorangan ketiga dan mampukah dia menghadirkan mata buat skuad negara?

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang turut disenaraikan ke Alor Setar berjaya mara ke undian utama selepas menang dalam kedua-dua perlawanan pusingan kelayakan.

Dalam aksi pertama, dia menang ke atas pemain India, Chirag Sen 21-17, 21-18 sebelum dipaksa bekerja keras untuk menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Siddharth 18-21, 21-7, 22-20.

Turut mara ialah pemain perseorangan profesional, Liew Daren yang menunjukkan aksi konsisten dalam dua kejohanan sebelum ini apabila mara ke separuh akhir Thailand dan Malaysia Masters.

Daren menang ke atas Mithun Manjunath dari India 21-16, 21-18 dan menewaskan Rahul Yadav Chittaboina 14-21, 21-11, 21-19.

Iskandar akan bertemu pemain Denmark, Emil Holst manakala Daren menentang Misha Zilberman dari Israel pada pusingan pertama esok.

Berita Harian X