Isnin, 29 Januari 2018 | 11:21am
JUARA Terbuka Australia, Roger Federer ditemubual oleh media berkenaan tempoh kariernya sebagai pemain tenis dunia. - Foto AFP

Tak tahu sampai bila: Federer

MELBOURNE: Selepas menjuarai gelaran ketiga Grand Slam buat kali ketiga dalam tempoh setahun, Roger Federer mengakui dia tidak tahu sampai bila dia akan terus bermain.

Bintang Switzerland itu melawan peningkatan usia dengan mara ke final Grand Slam ke-30, menjulang gelaran Australia keenam dan Grand Slam ke-20 peribadi.

Pemain nombor dua dunia itu menjuarai Terbuka Australia berturut-turut dengan menewaskan Marin Cilic 6-2, 6-7 (5/7), 6-3, 3-6, 6-1 semalam, hanya ketinggalan satu set dalam kejohanan tanpa tekanan itu.

PEMAIN nombor dua dunia, Roger Federer tidak percaya bahawa dia menjuarai gelaran ketiga Grand Slam buat kali ketiga dalam tempoh setahun. - Foto AFP

Federer yang menewaskan seteru utamanya Rafael Nadal dalam aksi klasik lima set pada final tahun lalu, tidak berdepan banyak masalah tahun ini di mana lima daripada tujuh perlawanan dilaluinya berlangsung kurang daripada dua jam dengan tempoh keseluruhan di gelanggang 13 jam 53 minit.

Ditanya selepas kejayaan di Melbourne, berapa lama lagi dia mampu bertahan di kemuncak tenis dunia, balasnya: "Saya tidak tahu. Sumpah, saya tidak tahu.

"Saya menang tiga Grand Slam dalam tempoh 12 bulan. Saya sendiri tidak percaya. Saya cuba mengikut jadual yang baik, terus dahagakan kemenangan dan mungkin perkara baik akan berlaku."

Federer berkata usia tidak menjadi persoalannya apabila ditanya mengenai keupayaan untuk terus bertahan.

ROGER Federer bersama trofi Terbuka Australia selepas menewaskan Marin Cilic di final. - Foto AFP

"Saya tidak fikir umur satu isu, ia sekadar angka," katanya.

"Namun saya perlu lebih berhati-hati dalam perancangan saya, memikirkan apa sasaran dan keutaman saya terlebih dahulu.

"Saya fikir itulah yang akan menentukan sama ada saya berjaya atau tidak." - AFP

Berita Harian X