Ahad, 28 Januari 2018 | 7:12pm
BEKAS jurulatih negara, Rashid yakin dengan keputusan Misbun untuk mengekalkan barisan pemain perseorangan lelaki hadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar dari 6 hingga 11 Februari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Rashid yakin pilihan abang

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih negara, Rashid Sidek yakin dengan keputusan Datuk Misbun Sidek untuk mengekalkan barisan pemain perseorangan lelaki menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar dari 6 hingga 11 Februari ini.

Sebagai ketua jurulatih, Rashid percaya Misbun yang juga abangnya sudah melakukan pilihan terbaik walaupun beberapa pemain yang disenaraikan untuk menghadapi kejohanan yang turut menjadi medan kelayakan Piala Thomas itu, gagal menyerlah dalam tiga kejohanan pertama musim ini.

"Beliau sendiri yang melatih pemain berkenaan dan lebih arif mengenai tahap permainan mereka. Misbun juga lebih yakin dengan pemain yang dipilih, jadi selepas kelayakan saya tidak pasti, mungkin ada perubahan," katanya selepas Progam Amal 'Smash For Charity' AmaxMALL Sdn Bhd dengan kerjasama Sports Affairs.

Terdahulu, keputusan Misbun menyenaraikan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven dalam skuad berkenaan mula mendapat kritikan selepas prestasi hambar mereka dalam saingan Malaysia Masters, minggu lalu.

Justeru, terdapat cadangan supaya Misbun menggantikan mereka dengan Leong Jun Hao yang layak ke final Thailand Masters dan Liew Daren yang memperagakan aksi konsisten dengan mara ke separuh akhir Thailand dan Malaysia Masters.

Walaupun tiga pemain yang disenaraikan itu gagal menyerlah tetapi Rashid yakin mereka mampu bangkit dalam acara berpasukan terbabit dengan syarat mereka perlu bekerja keras dalam latihan bagi memperbaiki segala kelemahan menjelang kejohanan berkenaan.

"Perlu diingat acara perseorangan dan berpasukan berbeza. Mereka boleh bangkit balik dan tunjukkan kemampuan sebenar masing-masing. Saya harap mereka beri yang terbaik dan harapan skuad negara tetap ada," katanya.

Sementara itu, Rashid yang pernah membantu negara menjulang Piala Thomas pada 1992 mengulangi amarannya bahawa cabaran Thailand dan Taiwan yang diundi bersama skuad negara dalam Kumpulan C tidak boleh dipandang remeh.

"Cabaran Thailand tidak boleh diperkecilkan kerana mereka mempunyai pasukan yang kuat, manakala Taiwan pula kebanyakan pemain sudah mempunyai pengalaman dan menunjukkan potensi dalam saingan Siri Super.

"Kita harus berjaga-jaga dengan kedua-dua pasukan ini. Pemain perseorangan kita bukan hendak kata lemah atau kuat sangat tapi secara purata mereka masih muda dan kurang pengalaman dalam acara berpasukan," katanya.

Berita Harian X