Khamis, 25 Januari 2018 | 8:43pm
PEMAIN perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain mengakui kedudukannya sudah mula terancam susulan peningkatan mendadak ditunjukkan Leong Jun Hao dan Liew Daren. - Foto Eizairi Shamsudin

Iskandar akui kedudukan terancam

KUALA LUMPUR: Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengakui kedudukannya sudah mula terancam susulan peningkatan mendadak ditunjukkan oleh pemain muda, Leong Jun Hao dan pemain profesional, Liew Daren.

Katanya, ini terutama dengan adanya beberapa kejohanan besar berpasukan seperti Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan dan Piala Thomas di Bangkok, pada Mei.

Dua minggu lalu, Jun Hao berjaya mencuri tumpuan apabila muncul naib juara Masters Thailand manakala Daren mara sehingga ke separuh akhir di Bangkok dan Masters Malaysia, Sabtu lalu.

"Sudah pasti saya berasa terancam apatah lagi saya gagal menghasilkan keputusan yang baik sejak kebelakangan ini. Saya tidak boleh hilang fokus dan membiarkan ia berlarutan.

"Saya perlu mencari jalan menyelamatkan diri. Saya harap boleh melakukan yang lebih baik pada tahun ini," kata Iskandar yang tersenarai ke Alor Setar berbanding Jun Hao.


PEMAIN perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao (kiri) mula menunjukkan peningkatan mendadak apabila muncul naib juara Masters Thailand, dua minggu lalu. - Foto Hairul Anuar Rahim

Selain Iskandar, pemain perseorangan lelaki yang turut disenaraikan bagi kejohanan di atas ialah Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven.

"Matlamat utama saya tahun ini adalah untuk kembali bangkit dan sebab itu BAM (Persatuan Badminton Malaysia) menghantar saya menyertai beberapa kejohanan. Saya perlu memperbaiki kedudukan ranking dunia dan itu saja cara saya boleh bermain dalam banyak kejohanan.

"Cabaran utama sekarang adalah peraturan baharu kejohanan yang digunakan BWF (Persekutuan Badminton Dunia). Saya perlu bermain dalam pusingan kelayakan untuk beberapa kejohanan sebelum ke undian utama. Saya perlu menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan," katanya.

Selepas kembali pulih daripada kecederaan tahun lalu, pencapaian terbaik Iskandar adalah menjuarai saingan Cabaran Antarabangsa Malaysia yang menyaksikan dia menewaskan Jun Hao di final.

Dua tahun lalu, Iskandar menjadi pemain terbaik Malaysia dalam Kejohanan Berpasukan Asia apabila memenangi semua perlawanannya.

Malaysia bagaimanapun gagal muncul empat pasukan terbaik tetapi masih tetap layak ke pusingan akhir Piala Thomas di Kunshan, China berdasarkan kedudukan ranking.

"Saya suka bermain dalam kejohanan berpasukan. Saya percaya ia adalah kelebihan untuk saya, diharapkan saya mampu mengulangi rekod cemerlang saya dalam kejohanan berpasukan," kata Iskandar yang akan beraksi pada saingan Terbuka India bermula 30 Januari ini.

Bagaimanapun, Iskandar boleh menarik nafas lega seketika apabila ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek mengesahkan tiada perubahan dalam barisan pemain yang akan menggalas cabaran pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar.

Berita Harian X