Khamis, 25 Januari 2018 | 6:00pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying mengakui gembira selepas diberi bayangan mungkin namanya akan tersenarai dalam skuad ke Piala Uber jika terus mengekalkan prestasi cemerlang. - Foto BERNAMA

Ying Ying tak kecewa

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying tidak kecewa selepas jurulatih, Datuk Tey Seu Bock memberi bayangan akan kekal dengan skuad sama bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar.

Menurut naib juara remaja dunia 2015 itu, setiap jurulatih sudah tentu mempunyai alasan tersendiri mengenai pemilihan pemain walaupun dia baru-baru ini menunjukkan prestasi memberangsangkan di Masters Malaysia selepas mara sehingga ke suku akhir.

"Jurulatih mempunyai alasan tersendiri mengenai pemilihan pemain untuk di bawa ke Alor Setar. Jadi setiap orang berhak mendapat peluang seperti ini," kata pemain kelahiran Perak berusia 21 tahun itu.

Semalam Seu Bock mengakui akan mengekalkan barisan pemain perseorangan wanita seperti diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) 4 Januari lalu.

Mereka adalah Soniia Cheah selain pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dan juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei, S Kisona dan Lim Yin Fun.

Bagaimanapun, beliau mengakui peluang masih terbuka buat pemain lain termasuk Ying Ying jika ada sebarang perubahan menjelang saingan Piala Uber di Bangkok pada Mei ini. Alor Setar menjadi pentas kelayakan kejohanan ini.

Dalam pada itu, Ying Ying mengakui gembira selepas diberi bayangan mungkin namanya akan tersenarai dalam skuad ke Piala Uber jika terus mengekalkan prestasi cemerlang.

"Ia satu berita gembira buat saya selepas jurulatih memberi bayangan mengenai peluang saya untuk menganggotai skuad Piala Uber. Bagi saya masih ada ruang buat semua orang untuk bersaing bagi merebut tempat ke Piala Uber.

"Apa yang perlu saya buat ialah memberikan yang terbaik di dalam latihan mahupun kejohanan," katanya yang akan beraksi di Cabaran Antarabangsa India pada 5 hingga 8 Februari ini.

Berita Harian X