Sabtu, 20 Januari 2018 | 10:20pm
AKSI Roger Federer dari Switzerland membalas pukulan pemain Perancis, Richard Gasquet pada saingan Terbuka Australia di Melbourne, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Federer di landasan cari gelaran ke-20

MELBOURNE: Juara bertahan Roger Federer meneruskan dominasi terhadap Richard Gasquet seterusnya mara ke kelompok 16 terakhir Terbuka Australia sebentar tadi dan berada di landasan tepat mencari gelaran Grand Slam ke-20.

Bintang Switzerland itu menewaskan pemain Perancis itu 6-2, 7-5, 6-4 dalam tempoh dua jam dalam pertemuan di Rod Laver Arena.

Federer akan berdepan pemain Hungary yang pernah menjadi rakan latihannya Marton Fucsovics dan berpotensi untuk berdepan Tomas Berdych, yang menewaskan Juan Martin Del Porto dengan straight set pada saingan lebih awal.

Federer, yang juga pemain pilihan dalam mengejar gelaran major ke-20 walaupun sudah berusia 36 tahun, mara ke pusingan keempat Terbuka Australia buat kali ke-16.

Pemain Switzerland itu hanya tewas dua kali berdepan Gasquet dalam 19 pertemuan, menang semua empat saingan dalam Grand Slam.

Gasquet juga tidak pernah menang walau satu set berdepan Federer sejak 2011, membabitkan 22 set memihak kepada pemain Switzerland itu.

"Saya boleh terus menyerang berbandingnya dan mungkin saya mempertahankan servis saya lebih baik berbanding dia," kata Federer.

"Set kedua lebih sengit. Ia sangat rapat. Perlawanan yang sukar. Ia boleh berakhir dengan tie-break, dan kemudian anda tidak tahu apa yang berlaku." - AFP

Berita Harian X