Sabtu, 20 Januari 2018 | 6:37pm
PEMAIN perseorangan Malaysia, Ying Ying Lee belum mampu pikat Datuk Tey Seu Bock. - Foto Eizairi Shamsudin

Ying Ying belum mampu pikat Seu Bock

KUALA LUMPUR: Datuk Tey Seu Bock tidak bercadang melakukan pertukaran pemain dalam acara perseorangan wanita menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan.

Sebaliknya, ketua jurulatih perseorangan wanita itu tetap dengan pendirian mengekalkan pemain yang sudah disenaraikan biarpun Lee Ying Ying menunjukkan prestasi konsisten dalam dua kejohanan antarabangsa.

Ying Ying mencuri tumpuan apabila mara ke suku akhir Malaysia Masters sebelum tewas di tangan pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Carolina Marin dari Sepanyol, semalam.

Dia sebelum itu mengejutkan pemain ke-15 dunia, Aya Ohori dari Jepun di pusingan kedua.

Pemain ke-49 dunia itu turut mara ke suku akhir Thailand Masters, minggu lalu.

Nama Ying Ying tidak berada dalam senarai menghadapi kejohanan di Alor Setar, sebaliknya Seu Bock menaruh kepercayaan kepada Sonia Cheah, Goh Jin Wei, Lim Yin Fun dan S Kisona.

Seu Bock, berkata Yin Fun dan Kisona mempunyai kekuatan mental yang lebih baik berbanding Ying Ying jika diturunkan sebagai perseorangan ketiga.

"Tugas perseorangan ketiga bukan mudah, saya perlukan pemain yang mempunyai kekuatan mental yang tinggi. Dalam situasi ini, Yin Fun dan Kisona ada kelebihan berbanding Ying Ying.

"Lagipun, tahap permainan mereka hampir sama. Saya mahu Ying Ying terus tunjukkan prestasi konsisten selepas ini dan jika dia berjaya lakukannya, saya fikir dia boleh disenaraikan untuk pusingan akhir Piala Uber nanti jika kita layak," kata Seu Bock.

Kejohanan Berpasukan Asia yang juga pusingan kelayakan Piala Uber 2018 akan bermula dari 6 hingga 11 Februari.

Dalam pada itu, Seu Bock gembira dengan prestasi anak buahnya dalam dua kejohanan awal tahun ini - Thailand dan Malaysia Masters - yang disifatkan permulaan positif buat kem perseorangan wanita negara.

Selain Ying Ying, Jin Wei turut mara ke suku akhir Malaysia Masters sebelum tewas kepada bekas juara dunia 2013, Ratchanok Intanon dari Thailand, semalam.

Di Thailand Masters, dua wakil negara, Sonia dan Kisona berjaya mara sehingga separuh akhir manakala Ying Ying suku akhir.

"Ia permulaan baik, saya harap mereka akan terus tunjukkan peningkatan.

"Malah, Jin Wei bermain dengan baik menentang Ratchanok cuma dia kurang dari aspek kecergasan. Namun, itu tidak membimbangkan kerana apa yang paling penting kualiti permainan yang ditunjukkannya.

"Ying Ying juga bermain dengan baik, sudah pasti masih ada jurang antara mereka dengan pemain utama dunia, tetapi secara perlahan mereka belajar," kata Seu Bock.

Berita Harian X