Sabtu, 20 Januari 2018 | 12:31pm
PEMAIN badminton perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain beraksi menentang lawannya dari Denmark Anders Antonsen pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena KL Sports City, kelmarin. - Foto BERNAMA

Kedudukan Iskandar, Joo Ven belum selamat

KUALA LUMPUR: Kedudukan dua pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven dalam skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan masih belum selamat.

Ini kerana barisan kejurulatihan diketuai Datuk Misbun Sidek masih boleh membuat perubahan pada saat akhir berdasarkan prestasi semasa pemain dalam kejohanan yang disertai sebelum itu.

Dua nama kini disebut-sebut sebagai mampu menggantikan Iskandar dan Joo Ven bagi menghadapi kejohanan di Alor Setar yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018 itu.

Mereka ialah bekas juara Asia 2017, Leong Jun Hao dan pemain profesional, Liew Daren.

Ketika Iskandar dan Joo Ven bergelut dengan prestasi tidak menentu, Jun Hao mencuri tumpuan minggu lalu apabila muncul naib juara Masters Thailand manakala Daren berjaya mara ke separuh akhir termasuk dalam saingan Masters Malaysia yang sedang berlangsung ketika ini.

Iskandar dan Joo Ven pula ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Masters Malaysia selepas bermula daripada pusingan kelayakan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai berkata, kemungkinan barisan jurulatih membuat pertukaran pemain di saat akhir tetap ada memandangkan Malaysia mahu menyenaraikan skuad terbaik untuk menjadi empat pasukan teratas di Alor Setar sekali gus layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei depan.

"Namun kuasa penuh terletak di tangan jurulatih yang diketuai Misbun, apa saja cadangan yang difikirkannya demi kebaikan pasukan, BAM akan beri sokongan. Pertukaran pemain masih boleh dilakukan sehingga mesyuarat pengurus pasukan.

"Perkara ini ada dibincangkan antara saya dengan jurulatih, tetapi keputusan akhir terletak di tangan jurulatih. Terpulang kepada mereka untuk tukar atau kekal dengan pemain sedia ada," kata Chin Chai yang juga pengurus pasukan skuad Piala Thomas.

Hanya tempat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia yang terjamin dalam pasukan.

Kejohanan Berpasukan Asia akan bermula pada 6 hingga 11 Februari.

12 dibaca
Berita Harian X