Jumaat, 19 Januari 2018 | 8:21pm
RAFAEL Nadal meraikan kejayaan menewaskan pemain Bosnia-Herzegovina, Damir Dzumhur pada pusingan ketiga Terbuka Australia, hari ini. - Foto EPA-EFE

Nadal teruskan kemaraan di Terbuka Australia

MELBOURNE: Rafael Nadal meneruskan permulaan hebat dalam Terbuka Australia apabila hanya tewas lima permainan ketika mencatat kemenangan straight sets mengatasi Damir Dzumhur hari ini.

Pemain nombor 1 dunia dari Sepanyol itu hanya mengambil masa 1 jam 50 minit untuk mara ke pusingan keempat dengan kemenangan 6-1, 6-3, 6-1 mengatasi pilihan ke-28 dari Bosnia di Margaret Court Arena.

Nadal yang tewas kepada Roger Federer tahun lalu di Melbourne, hanya tewas 21 permainan dalam tiga perlawanan untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

Dia akan menentang pemain pilihan ke-24 Argentina, Diego Schwartzman pada pusingan keempat Ahad ini.

"Saya fokus dan sangat gembira untuk sekali lagi memiliki peluang Ahad ini," kata Nadal.

Juara 16 kali Grand Slam itu hanya melakukan 18 kesalahan dan sekali gagal melakukan servis.

Kemenangan itu memberikan rekod pemain berusia 31 tahun di Terbuka Australia kepada 54-11 ketika dia cuba mengejar gelaran kedua di Melbourne selepas menewaskan Federer pada final 2009. - AFP

Berita Harian X