Khamis, 18 Januari 2018 | 9:40pm
AKSI pemain Switzerland, Stan Wawrinka membalas pukulan Tennys Sandgren pada saingan Terbuka Australia di Melbourne, hari ini. - Foto EPA-EFE

Terbuka Australia: Wawrinka tersingkir

MELBOURNE: Bintang tenis Switzerland, Stan Wawrinka ditunjukkan jalan keluar daripada Terbuka Australia selepas tewas kepada pemain Amerika Syarikat, Tennys Sandgren di pusingan kedua, hari ini.

Disenarai selaku pilihan kesembilan kejohanan, Wawrinka tewas dalam pertarungan tiga set 6-2, 6-1, 6-4 kepada Sandgren yang menghuni ranking ke-97 dunia.

Lawan Sandgren di pusingan berikutnya adalah pemain Jerman, Maximilian Marterer.

Ia jelas tahun yang sukar buat Wawrinka yang bermain pada kejohanan kompetitif pertamanya sejak aksi di Wimbledon, enam bulan lalu susulan pembedahan di lutut kirinya.


REAKSI Stan Wawrinka selepas tewas kepada Tennys Sandgren pada saingan Terbuka Australia di Melbourne, hari ini. - Foto EPA-EFE

Dia gagal memberikan ancaman kepada Sandgren tatkala servisnya dipatahkan sebanyak lima kali dan hanya melakukan 21 pukulan mata selain 35 kesilapan tidak sepatutnya.

Wawrinka yang memiliki tiga gelaran Grand Slam termasuk ketika menewaskan Rafael Nadal untuk menjuarai Terbuka Australia pada 2014 dijangka akan terus tercicir daripada kedudukan ranking dunia susulan kekalahan itu.

Tahun lalu, dia mara ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada penyandang juara, Roger Federer dalam pertarungan lima set.

Selepas menolak untuk beraksi di kejohanan pertunjukan di Abu Dhabi, perlawanan kompetitif pertama Wawrinka adalah pada pusingan pertama di Australia menentang pemain Lithuania, Ricardas Berankis yang berakhir dengan kemenangan.

Marterer yang menduduki ranking ke-94 dunia mara ke pusingan ketiga hasil kemenangan 6-4, 4-6, 7-6(5), 3-6, 6-3 ke atas pemain veteran Sepanyol, Fernando Verdasco. - AFP


PEMAIN Amerika Syarikat, Tennys Sandgren menewaskan pemain pilihan Stan Wawrinka, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Berita Harian X